MPOB hasilkan snek berasaskan minyak sawit merah | DagangNews Skip to main content

MPOB hasilkan snek berasaskan minyak sawit merah

 

 

KUALA LUMPUR 18 Feb.  - Sekumpulan penyelidik Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) telah menghasilkan formulasi snek ekstrusi berasaskan minyak sawit merah yang enak, berkhasiat dan bebas daripada pewarna sintetik dan lemak haiwan. 

 

Ketua Pengarah MPOB, Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, teknologi inovatif MPOB ini, yang berupaya untuk memperkaya lagi snek ekstrusi dengan pro-vitamin A khasiat minyak sawit merah dikomersialkan di China.

 

“Inovasi ini dapat meningkatkan permintaan minyak sawit oleh China dan mengurangkan masalah kekurangan vitamin A dalam kalangan kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.  

 

Makanan snek merupakan pasaran baru yang kian berkembang di China dan menjana AS$3.08 trilion (RM12.5 trilion) pada 2019, berbanding AS$30.4 bilion (RM123 bilion) dengan pengeluaran sebanyak 5.1 juta tan pada 2018.

 

Penduduk China, terutama golongan kanak-kanak, amat menggemari snek ekstrusi. Mereka juga cenderung untuk membeli produk makanan kesihatan tanpa mengira harga. 

 

Berdasarkan laporan, sebanyak 4 juta tan snek ekstrusi dimakan oleh penduduk China setiap tahun. 

 

Bagaimanapun, kebanyakan daripada snek ekstrusi di China dibuat menggunakan pewarna sintetik dan lemak haiwan. 

 

“Oleh itu, MPOB telah menghasilkan inovasi menggunakan minyak sawit merah bagi menggantikan pewarna sintetik dan lemak haiwan dalam pembuatan snek ekstrusi. 

 

"Snek ekstrusi ini sangat sesuai untuk dijual sebagai makanan premium di China yang penduduknya mementingkan produk makanan kesihatan,” katanya.

 

Ahmad Parveez berkata, MPOB dengan kerjasama Universiti Shanghai dan salah satu pengeluar makanan snek terbesar di China, telah menjalankan penyelidikan untuk menghasilkan snek ekstrusi tersebut selama 2 tahun sejak Julai 2018.

 

Jelasnya, snek ekstrusi berasaskan minyak sawit merah ini mendapat sambutan kerana ia produk yang enak dan berkhasiat. 

 

Kaya dengan nutrisi sawit dan karotena asli yang bebas daripada pewarna sintetik, produk ini amat sesuai untuk diambil sebagai makanan kesihatan. 

 

“Pengusaha tempatan, terutama pengusaha kecil sederhana digalakkan untuk mengkomersialkan teknologi berpotensi besar ini. 

 

"Produk ini mengandungi nutrien semulajadi dan karotena yang dapat memperkaya kesihatan kita,” kata beliau. -DagangNews.com