MR DIY rancang buka lagi 175 kedai | DagangNews Skip to main content

MR DIY rancang buka lagi 175 kedai

 

 


KUALA LUMPUR 16 Jun - MR DIY Group (M) Bhd. kekal berada di landasan bagi pertumbuhan 2021 dengan strategi tiga penjuru untuk memacu pertumbuhan, memberikan nilai dan mencapai keberkesanan operasi.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Adrian Ong berkata, kumpulan itu bercadang menambah 175 kedai baharu merangkumi tiga jenamanya iaitu 100 buah untuk MR DIY, 25 bagi MR TOY dan 50 bagi MR DOLLAR.

 

“Kami akan terus menyokong perjuangan negara dalam memerangi pandemik, di samping memastikan semua cawangan runcit kami menyediakan bekalan barangan keperluan (berkaitan) COVID-19 yang mencukupi untuk orang ramai dengan harga berpatutan,” katanya dalam kenyataan bersempena mesyuarat agung tahunan (AGM) sulung syarikat itu semalam seperti dilapor Bernama.

 

Ia berjaya menganjurkan mesyuarat AGM secara maya itu dengan semua resolusi biasa menerima persetujuan pemegang saham dan pengundian dijalankan secara dalam talian.

 

Ong berkata, bahagian pasaran peruncitan penambahbaikan kediaman bagi kumpulan itu berkembang kepada 36.4 peratus pada 2020, peningkatan 5.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

 

“Pertumbuhan ini didorong terutamanya oleh pertumbuhan kedai-sama dengan kenaikan 4.4 peratus pada 2020 dan pertumbuhan saiz bakul berikutan pelanggan mengurangkan kekerapan ke kedai, namun membuat lebih banyak pembelian pada setiap kunjungan mereka ketika pandemik ini,” katanya.

 

Menurutnya, syarikat itu telah memproses lebih 95 juta transaksi, hampir tiga kali ganda daripada jumlah penduduk Malaysia pada tahun lepas.

 

“Kami memberikan lebih banyak tumpuan kepada penggunaan data, analisis dan teknologi dan akan menggunakan maklumat berkenaan untuk melakar inventori kami demi memenuhi permintaan pelanggan,” tambahnya. - DagangNews.com