Muhyiddin harap kerajaan baharu dapat dibentuk dengan segera uruskan COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Muhyiddin harap kerajaan baharu dapat dibentuk dengan segera uruskan COVID-19

PUTRAJAYA 16 Ogos - Tan Sri Muhyiddin Yassin berharap kerajaan baharu dapat dibentuk dengan segera supaya pentadbiran negara ini tidak terganggu dan dapat berjalan seperti biasa.

 

Beliau yang mengumumkan perletakan jawatan berkata, tempoh dua bulan ke hadapan ini adalah amat penting kerana kita dijangka mencapai imuniti kelompok pada bulan Oktober.

 

''Segala perancangan yang telah digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara tidak boleh terbantut. Sektor-sektor ekonomi perlu dibuka semula untuk memastikan ekonomi negara dapat pulih dengan segera dan rakyat dapat menjana pendapatan untuk menyara diri dan keluarga,'' katanya dalam perutusan yang disiarkan menerusi televisyen hari ini.

 

''Justeru, momentum pelaksanaan program vaksinasi tidak boleh terganggu. Rekod kita mencatatkan jumlah vaksinasi harian antara yang tertinggi di dunia mesti dikekalkan,'' kata beliau lagi.

 

'' Jangan bimbang, kabinet saya telah menempah lebih 87 juta dos vaksin untuk penduduk negara ini yang melibatkan perbelanjaan sebanyak 4.36 bilion ringgit. Jumlah ini adalah lebih daripada mencukupi untuk saudara dan saudari sekalian.

 

''Kekal bertenang. Mudah-mudahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong diberikan rahmat kebijaksanaan untuk memilih Perdana Menteri yang baharu menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan,'' kata Muhyiddin.

 

Ahli Parlimen Pagoh ini berkata, beliau senantiasa prihatin dengan nasib rakyat kerana menganggap semua sebagai anak-anaknya sendiri.

 

''Kerana itu saya telah menekankan bahawa kebajikan saudara dan saudari menjadi keutamaan Kerajaan Perikatan Nasional, iaitu sebuah kerajaan yang Prihatin Rakyat,'' kata beliau.

 

Muhyiddin berkata, beliau optimis bahawa negara ini akan dapat keluar daripada krisis pandemik ini dalam masa terdekat.

 

''Saya teruja melihat perkembangan positif beberapa hospital di Lembah Kelang di mana jumlah kemasukan pesakit COVID-19 kategori empat dan lima semakin berkurangan. Mudah-mudahan, dengan program vaksinasi yang semakin meningkat, lebih banyak nyawa dapat diselamatkan dan saudara-saudari dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa,'' kata beliau.

 

Muhyiddin berkata, beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada para frontliners yang terus bertungkus-lumus memerangi pandemik COVID-19 dan semua penjawat awam yang telah memberi kerjasama sepenuhnya kepada beliau dalam melaksanakan dasar-dasar yang diputuskan oleh Kerajaan Perikatan Nasional.

 

''Saya berharap segala dasar yang baik untuk rakyat dapat diteruskan pada masa akan datang,'' kata Muhyiddin. - DagangNews.com