Muhyiddin letak jawatan Perdana Menteri | DagangNews Skip to main content

Muhyiddin letak jawatan Perdana Menteri

PUTRAJAYA 16 Ogos - Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menyerahkan warkah peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri dan seluruh Jemaah Menteri di bawah Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada jam 12.30 tengahari tadi di Istana Negara, hari ini. 

 

''Perletakan jawatan tersebut adalah disebabkan saya telah kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat. Ini bermakna saya dan seluruh ahli Jemaah Menteri telah meletakkan jawatan.

 

''Walaupun saya pada awalnya mencadangkan supaya keabsahan saya sebagai Perdana Menteri ditentukan di Parlimen, namun lima belas Ahli Parlimen Umno telah menarik sokongan kepada saya dan cadangan kerjasama rentas parti yang saya kemukakan telah ditolak oleh parti-parti pembangkang. Jelaslah saya telah kehilangan sokongan majoriti. Jadi, tidak perlu lah lagi keabsahan saya sebagai Perdana Menteri ditentukan di Parlimen,'' kata beliau dalam perutusan yang disiarkan di televisyen. 

 

'' Maka, pada hari ini saya meletakkan jawatan saya sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh ahli Jemaah Menteri sebagaimana yang dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan. 

 

''Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan menyebut “jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri”. Inilah kehendak dalam Perlembagaan dan saya mesti patuh,'' kata beliau.

 

Menurut Muhyiddin, rayuan ikhlas dari jutaan rakyat Malaysia agar beliau meneruskan tugas saya dan tidak meletakkan jawatan beliau dengari. ''Namun, rayuan ini tidak dapat saya sambut kerana saya telah kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat,'' ujar beliau.

 

''Tindakan saya ini adalah selaras dengan sumpah jawatan saya untuk sentiasa menjunjung, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan.

 

''Saya telah melakukan pelbagai ikhtiar hingga ke saat akhir untuk menyelamatkan Kerajaan Perikatan Nasional setidaknya sehingga selesai tugas menguruskan pandemik, program vaksinasi dan pemulihan ekonomi. Tetapi ikhtiar ini tidak berhasil disebabkan ada pihak yang rakus untuk merebut kuasa daripada mengutamakan nyawa dan kehidupan rakyat,'' kata beliau. - DagangNews.com