Mungkinkah platform digital jadi pilihan pengiklan kelak? - Firma | DagangNews Skip to main content

Mungkinkah platform digital jadi pilihan pengiklan kelak? - Firma

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 7 April - Pemain industri media dilihat masih ketinggalan pada ketika pesaing lain mula meningkatkan platform digital masing-masing untuk kekal kompetitif. 

 

Ini memandangkan trend digital semakin berkembang maju dengan Youtube menguasai 85% daripada perbelanjaan pengiklanan (adex) digital, jelas penganalisis Kenanga Research, Pritika Modhgil dalam nota kajian.  

 

"Dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang 6.5% tahun ini, sekatan pergerakan yang dilonggarkan dan pelancaran vaksin COVID-19, kami percaya pembelian iklan akan kembali kukuh pada separuh kedua 2021. 

 

"Tetapi, apa yang menariknya, kami dapati, penguasaan adex bagi digital adalah lebih tinggi meningkat 19% daripada keseluruhan adex, meningkat 6% tahun ke tahun manakala adex bagi surat khabar terus menunjukkan trend penurunan kepada 22% bagi 2020 (berbanding 32% pada 2019)," katanya.  

 

Tahun 2020 menyaksikan industri media berdepan cabaran terutama pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19. 

 

Keadaan ini menyebabkan kebanyakan perniagaan kurang memberi peruntukan kepada pengiklanan, hingga menyebabkan keseluruan adex merosot tahun lalu terutama bagi adex tradisional pada suku kedua 2020. 

 

Berdasarkan analisis firma itu, ia juga mendapati, adex bagi surat khabar dan digital hampir menyamai antara satu sama lain mungkin disebabkan peralihan pengiklan kepada platform digital yang lebih efektif untuk menghubungkan mereka dengan pelanggan berbanding surat khabar. 

 

Menurut Pritika, tahun ini kemungkinan akan menyaksikan adex digital mengatasi surat khabar dan trend itu akan terus meningkat sekali gus menjadi antara dua penyumbang utama keseluruhan adex bagi menggantikan surat khabar.  

 

Sehubungan itu, katanya, untuk kekal bersaing dalam arena pengiklanan, pemain media harus menambah baik mekanisme pengiklanan mereka bagi membantu pelanggan memasarkan produk dengan lebih efektif. 

 

"Sebagai contoh, kerjasama Media Prima dengan Lazada pada November 2020 untuk jualan Lazada 11.11 dengan menayangkan Lazada 11.11 Super Show di TV3. 

 

"Star Media juga kini memberi tumpuan mengembangkan segmen digital untuk meningkatkan aliran pendapatan selain bergantung kepada cetakan surat khabar. 

 

"Ini menyaksikan Star Media memulakan pelbagai inisiatif termasuk One Stop Stop yang menawarkan penyelesaian menyeluruh bagi penyelesaian pemasaran daripada strategi kandungan hinggalah pelaksanaan kandungan kepada pengiklan," katanya.  

 

Dalam pada itu, Astro kekal menjadi pilihan Kenanga Research dengan harga sasaran (TP) RM1.05 bagi sektor media memandangkan hasil dividennya yang tinggi dan model langganannya kekal kukuh berbanding pemain lain yang bergantung kepada iklan. 

 

Firma itu juga menaikkan pandangan terhadap Media Chinese International daripada 'underperform' kepada neutral dengan TP daripada 0.155 sen kepada 19 sen bagi tahun kewangan 2022 dan menjangkakan keuntungan bersihnya akan meningkat 29% kepada RM13.5 juta. - DagangNews.com