MyEG dalam proses muktamadkan syarat konsesi perkhidmatan berkaitan imigresen dengan kerajaan | DagangNews Skip to main content

MyEG dalam proses muktamadkan syarat konsesi perkhidmatan berkaitan imigresen dengan kerajaan

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Sept - MyEG Services Berhad sedang dalam proses memuktamadkan syarat konsesi perkhidmatan berkaitan imigresen dengan kerajaan.

 

Pada masa sama, mereka mengesahkan bahawa tidak lagi menerima sebarang permohonan pembaharuan dokumen berkaitan daripada pelanggan di laman webnya.

 

Kumpulan itu berkata, ia telah berhenti menerima permohonan bagi sementara waktu sejak 15 September lalu dan pemberhentian adalah sehingga suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

 

"Langkah itu bagi membolehkan pihaknya memuktamadkan syarat-syarat konsesi dengan Kerajaan Malaysia," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Bagaimanapun, kumpulan itu tidak menjelaskan secara terperinci sebab ia terus menerima permohonan daripada pelanggan antara akhir Mei dan awal September, ketika masih membincangkan syarat konsesi dengan kerajaan ketika itu.

 

Konsesi tiga tahun MyEG untuk perkhidmatan berkaitan imigresen berakhir pada 22 Mei tahun ini selepas menerima lanjutan dari Mei 2020.

 

Pada Julai lalu, MyEG berkata pihaknya telah menerima surat pemberitahuan bertarikh 4 Julai daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan bahawa Kementerian Kewangan telah bersetuju dengan lanjutan bagi konsesi itu.

 

Pada masa itu, kumpulan itu syarat lanjutan "akan dimuktamadkan menurut perbincangan lanjut dengan kerajaan pada masa akan datang" dan perjanjian rasmi bagi lanjutan itu "akan dimeterai kemudian".

 

Makluman itu juga tidak menyentuh kenyataan KDN mengenai prosedur untuk pemohon menuntut semula bayaran atau melengkapkan permohonan di Jabatan Imigresen.

 

“Sekiranya terdapat sebarang maklumat penting atau perkembangan berkaitan penyambungan semula perkhidmatan berkaitan Imigresen, pihak kami akan memaklumkannya kepada Bursa Malaysia," katanya. - DagangNews.com