Naza Communications, Everest Infrastructure bekerjasama bangunkan infrastruktur telekomunikasi di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Naza Communications, Everest Infrastructure bekerjasama bangunkan infrastruktur telekomunikasi di Malaysia

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Okt - Naza Communications Sdn. Bhd. (NCSB) iaitu anak syarikat Kumpulan Naza menjalin kerjasama dengan Everest Infrastructure Partners ANZ Pty Ltd (Everest) untuk melabur dalam infrastruktur telekomunikasi tanpa wayar (Wireless) sedia ada di Malaysia.

 

Pada masa sama, kedua-dua syarikat akan membangunkan dan menambah baik infrastruktur telekomunikasi seluruh negara.

 

Everest merupakan sebuah syarikat berpangkalan di Australia yang memberi tumpuan kepada pemerolehan dan pembangunan menara komunikasi tanpa wayar, pajakan tanah menara, pajakan antena atas bumbung dan infrastruktur komunikasi tanpa wayar lain. 

 

Dalam usahanya untuk bekerjasama dengan pemain telekomunikasi utama Malaysia, Everest mengenal pasti Naza Communications sebagai rakan kongsi pilihan dengan mengambil kira pengalaman, peneraju sektor, pengalaman pasaran, sambungan industri dan kepakaran pengurusan TowerCo.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Everest Infrastructure Partners ANZ, Will Heapy berkata, ia merupakan jalinan kerjasama pertama Everest di Asia Tenggara dan mereka berbesar hati dengan perkara itu kerana memiliki perasamaa visi ke arah pelaburan infrastruktur tanpa wayar.

 

telko

 

"Kedua-dua syarikat akan melabur dalam aset infrastruktur telekomunikasi tanpa wayar di lokasi strategik seluruh negara dan perkongsian itu membolehkan Everest memaksimumkan pelaburan dengan memanfaatkan kepakaran serta pengalaman industri jangka panjang Naza Communications," katanya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Naza Communications, Darryll Sinnappa berkata, pihaknya sedang berusaha untuk merealisasi potensinya dan mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju pasaran dengan perkongsian pintar dan projek infrastruktur utama. 

 

"Dengan menggabungkan model perniagaan dan pelaburan inovatif Everest dengan pengetahuan dan kepakaran industri tempatan, kami yakin perkongsian ini akan membolehkan kami memenuhi keperluan kepadatan dan infrastruktur rangkaian tanpa wayar Malaysia ketika negara meneruskan pelaksanaan 5G di seluruh  negara," katanya. - DagangNews.com