KUALA LUMPUR 25 Okt - NEC Corporation of Malaysia Sdn Bhd (NEC Malaysia) menjalinkan kerjasama dengan MyDigital Corporation untuk meningkatkan pembangunan infrastruktur digital dan memupuk bakat untuk memenuhi keperluan pelbagai industri.
Menerusi perjanjian baharu itu, NEC Malaysia akan bekerjasama dengan MyDigital untuk memacu pelaksanaan pelbagai inisiatif di bawah pelan tindakan ekonomi digital Malaysia.
Syarikat itu juga akan berkhidmat sebagai perunding kepemimpinan pemikiran dalam projek pemangkin MyDigital, satu inisiatif kerajaan untuk menyediakan perundingan infrastruktur digital dan penyelesaian kepada perniagaan dalam sektor seperti pembuatan, pertanian, pengangkutan dan logistik, perkhidmatan penjagaan kesihatan serta utiliti.
Inisiatif projek pemangkin menawarkan khidmat nasihat syarikat yang layak mengenai penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), Internet Kebendaaan (IoT), blockchain, pengkomputeran awan dan analisis data besar serta bahan dan teknologi termaju.
Mereka juga akan bekerjasama dalam usaha untuk melatih semula pekerja dengan keupayaan digital yang berkaitan melalui bengkel serta program latihan dan latihan untuk pelajar pengajian tinggi dan vokasional.
Pengarah Urusan NEC Malaysia, Chong Kai Wooi berkata, objektif utama adalah untuk membantu Malaysia mencapai matlamatnya untuk menjadi antara negara digital yang "memastikan keterangkuman dan pertumbuhan yang mampan".
“Ketika Malaysia mencapai matlamatnya untuk mendigitalkan ekonomi, kita perlu memastikan tiada sektor yang ketinggalan.
"Perkongsian ini akan membolehkan kami menyokong syarikat yang mempunyai pengetahuan dan kepakaran digital untuk membina daya tahan dan daya saing,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini selepas majlis menandatangani perja jian kerjasama itu.
Ketua Pegawai Eksekutif MyDigital, Fabian Bigar berkata, jalinan dengan NEC Malaysia adalah sebahagian daripada strategi untuk bekerjasama dengan rakan kongsi sektor swasta untuk mengubah Malaysia menjadi negara berpendapatan yang dipacu teknologi.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed; Duta Jepun ke Malaysia, Takahashi Katsuhiko dan presiden perniagaan global di NEC Corporation Akihiko. - DagangNews.com