Nilai jualan sektor pembuatan susut 3% kepada RM144 bilion pada Julai 2023 – DOSM | DagangNews Skip to main content

Nilai jualan sektor pembuatan susut 3% kepada RM144 bilion pada Julai 2023 – DOSM

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 11 September - Nilai jualan sektor pembuatan susut 3% tahun ke tahun kepada RM144 bilion pada Julai 2023 bagi bulan kedua berturut-turut, merosot lebih kecil berbanding 4% bulan sebelumnya, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata penurunan itu dipengaruhi terutamanya oleh penyusutan berterusan subsektor petroleum, kimia, getah dan plastik sebanyak 15.3% pada bulan tersebut berbanding kemerosotan 12.4% dalam bulan sebelumnya.

 

“Tambahan lagi, kemerosotan ini juga disumbangkan oleh penyusutan dalam subsektor makanan, minuman dan tembakau (7.8%), serta kayu, perabot, keluaran kertas dan percetakan (0.6%).

 

“Bagi perbandingan dengan bulan sebelumnya, nilai jualan menurun sebanyak 2.4% berbanding RM147.4 bilion yang direkodkan pada Jun 2023,” katanya.

 

Nilai jualan industri berorientasikan eksport, yang merangkumi 72.1 % daripada jumlah jualan, terus merosot 7% pada Julai 2023 disebabkan terutamanya oleh penyusutan industri pembuatan kok dan produk petroleum bertapis (25.6%); pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan (18.5%); serta pembuatan produk getah (10.8%).

 

 

 Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin
Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin (gambar ihsan FB DOSM)

 

 

Namun, DOSM berkata prestasi industri berorientasikan domestik kekal menggalakkan, mencapai 9.2% pada Julai 2023 berbanding 6.8% pada Jun 2023, seterusnya mengurangkan impak kemerosotan dalam industri berorientasikan eksport.

 

Jelasnya, momentum stabil bagi industri berorientasikan domestik disokong terutamanya oleh pertumbuhan kukuh nilai jualan bagi industri pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler sebanyak 22%, manakala industri pembuatan produk logam, kecuali mesin dan kelengkapan; dan pembuatan produk prosesan makanan masing-masing meningkat 9.7% dan 8.5%.

 

Bagi perbandingan bulan ke bulan, industri berorientasikan domestik berkembang 1%, manakala industri berorientasikan eksport kembali ke jajaran negatif dengan penurunan 3.6%.

 

Mengulas mengenai bilangan pekerja, Mohd Uzir berkata sektor pembuatan melibatkan seramai 2.34 juta orang pada Julai 2023, meningkat 1.7% berbanding 2.3 juta setahun lalu, didorong terutamanya oleh subsektor makanan, minuman dan tembakau (5.8%); peralatan elektrik dan elektronik (1.1%); serta produk kayu, perabot, keluaran kertas dan percetakan (2.1%).

 

 

dosm

 

 

“Berbanding bulan sebelumnya, bilangan pekerja sektor ini berkurang secara marginal sebanyak 0.2%. Begitu juga, gaji dan upah yang dibayar dalam sektor pembuatan juga meningkat 2.9% tahun ke tahun, berjumlah RM7.9 bilion pada Julai 2023.

 

“Bagi perbandingan bulan ke bulan, gaji dan upah menurun 1.5% daripada RM8 bilion yang direkodkan pada Jun 2023. Tambahan lagi, purata gaji dan upah bulanan bagi setiap pekerja mencatatkan peningkatan sebanyak 1.2% tahun ke tahun dengan nilai RM3,390 manakala nilai jualan bagi setiap pekerja turun 4.6% kepada RM61,518,” ujar beliau.

 

Bagi tujuh bulan pertama 2023, Mohd Uzir menyimpulkan bahawa nilai jualan sektor pembuatan mencapai RM1.03 trillion, meningkat 2.5% berbanding tempoh sama tahun lalu.

 

“Pada tempoh tersebut, bilangan pekerja bertambah 1.7% untuk merekodkan seramai 2.34 juta orang, manakala gaji dan upah tumbuh 3.8%, mencatatkan RM56.6 bilion. Seterusnya, nilai jualan setiap pekerja mencatatkan pertumbuhan marginal sebanyak 0.8%, berjumlah RM441,255,” tambahnya. - DagangNews.com