Nilai jualan sektor pembuatan turun 2% kepada RM145 bilion pada April 2023 - DOSM | DagangNews Skip to main content

Nilai jualan sektor pembuatan turun 2% kepada RM145 bilion pada April 2023 - DOSM

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 9 Jun -  Nilai jualan sektor pembuatan turun 2% tahun ke tahun untuk mencatatkan sebanyak RM145 bilion pada April 2023, yang terendah sejak Mei 2020, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Menurutnya, penurunan ini dipengaruhi terutamanya oleh penyusutan dalam subsektor makanan, minuman dan tembakau (12.7%); kelengkapan pengangkutan dan pembuatan lain (4.9%); dan petroleum, kimia, getah dan plastik (3.1%).

 

"Berbanding dengan bulan sebelumnya, nilai jualan kembali merosot dengan negatif 7.2% berbanding kenaikan 7.6% yang direkodkan pada Mac 2023," katanya.

 

"Penguncupan ini dipengaruhi terutamanya oleh industri pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan (-23.2%); pembuatan produk getah (-14.2%); dan pembuatan produk plastik (-7.1%).

 

"Bagaimanapun, industri berorientasikan domestik mengekalkan trend positif dengan pertumbuhan 1.6% pada April 2023 tahun ke tahun, terutamanya oleh industri pembuatan produk logam, kecuali mesin dan kelengkapan (5.5%); pembuatan produk galian bukan logam lain (4.6%); dan pembuatan produk prosesan makanan (3.4%).

 

"Berbanding bulan sebelumnya, kedua-dua industri berorientasikan eksport dan domestik masing-masing berkurangan 7.2%," katanya.

 

DOSM berkata, seramai 2.35 juta pekerja terlibat dalam sektor pembuatan pada April 2023, meningkat 2.5% berbanding 2.29 juta yang direkodkan setahun lepas. 

 

 

dosm

 

 

"Kenaikan ini didorong terutamanya oleh subsektor produk makanan, minuman dan tembakau (5.6%); peralatan elektrik dan elektronik (4.2%); dan produk kayu, perabot, keluaran kertas dan percetakan (2.7%). 

 

"Berbanding bulan sebelumnya, bilangan pekerja dalam sektor ini berkurangan sebanyak 0.1%," katanya.

 

Selaras dengan peningkatan bilangan pekerja, menurutnya gaji dan upah yang dibayar dalam sektor pembuatan meningkat sebanyak 3.9% tahun ke tahun, yang berjumlah RM8.02 bilion pada April 2023, lapor Bernama.

 

Purata gaji dan upah bulanan bagi setiap pekerja pada April 2023 adalah lebih tinggi sebanyak 1.4% tahun ke tahun bernilai RM3,413, manakala nilai jualan bagi setiap pekerja turun 4.4% kepada RM61,716, katanya. - DagangNews.com