NIOSH naik taraf program KKP bagi pastikan kebajikan pekerja terbela | DagangNews Skip to main content

NIOSH naik taraf program KKP bagi pastikan kebajikan pekerja terbela

Steven Sim Chee Keong mengadakan lawatan sulungnya ke ibu pejabat NIOSH di Bangi, Selangor pada 3 Januari 2024.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 3 Jan - Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan terus mengukuhkan program Latihan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (KKP) bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan sumber manusia negara terbela.

 

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, agensi dibawah kementeriannya, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) akan menerajui usaha berkenaan menerusi pelbagai program latihan berkaitan KKP.

 

Beliau menegaskan, NIOSH akan memberi komitmen padu bagi memastikan keselamatan, kesihatan serta kebajikan semua pekerja terjamin.

 

Katanya, langkah itu juga selari dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan perlindungan terhadap pekerja melalui penguatkuasaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) (Pindaan) 2022.

 

"Baru-baru ini, negara digemparkan dengan dua kes bencana kerja yang meragut nyawa. Merujuk kepada kes Nur Ahmad Yusoff Muei di Selangor dan R Thinesh Kumar di Pulau Pinang. 

 

"Ini semakin menunjukkan pentingnya penguatkuasaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) (Pindaan) 2022," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Justeru, beliau bertekad untuk menyegerakan penguatkuasaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) (Pindaan) 2022.

 

 

niosh
Steven Sim Chee Keong

 

 

Terdahulu, Steven Sim melakukan lawatan rasmi pertamanya ke ibu pejabat NIOSH di Bangi, Selangor, yang turut dihadiri timbalannya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad, Timbalan Ketua Setiausaha KSM (Dasar dan Antarabangsa), Datuk Amran Ahmad; Timbalan Ketua Setiausaha KSM (Operasi), Datuk Norison Ramli dan Pengarah Eksekutif NIOSH, Ayop Salleh.

 

 

niosh
Steven Sim Chee Keong (dua, kiri) bersama Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (dua, kanan) dan Ayop Salleh (kanan) ketika lawatan ke NIOSH, Bangi, Selangor pada 3 Januari 2024.

 

 

Sebagai institusi yang bertanggungjawab meningkatkan tahap KKP negara, NIOSH sedang giat melaksanakan pelbagai usaha untuk meningkatkan kesedaran majikan dan pekerja untuk menyertai latihan yang ditawarkan khususnya melibatkan KKP.

 

Ke arah itu, NIOSH sedang menaik taraf program latihan sedia ada bagi memenuhi keperluan industri serta memanfaatkan platform digital untuk meningkatkan keberkesanan dan capaian program-program latihan yang dianjurkannya. - DagangNews.com