Normalisasi kadar cukai, RHB Investment unjur pendapatan sektor perbankan susut kepada 6% pada 2024 | DagangNews Skip to main content

Normalisasi kadar cukai, RHB Investment unjur pendapatan sektor perbankan susut kepada 6% pada 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Jan - RHB Investment menjangkakan penyusutan pendapatan kepada 6% dalam sektor perbankan pada 2024 berbanding pertumbuhan 11% pada tahun lalu kesan daripada normalisasi kadar cukai pada 2023.

 

Katanya, jangkaan pertumbuhan itu adalah lebih rendah berbanding unjuran pendapatan normalnya kira-kira 10% dari tahun ke tahun bagi FBM KLCI dan syarikat di bawah liputannya pada tahun ini.

 

"Kami mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor perbankan dan tidak melihat sebarang pemangkin prestasi yang ketara.

 

"Pilihan utama kami dalam sektor itu adalah CIMB Group Holding Berhad, AMMB Holdings Berhad, Hong Leong Bank Berhad dan Alliance Bank Malaysia Berhad," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu juga meramalkan pertumbuhan 5% bagi pendapatan operasi sektor itu pada tahun ini didorong pendapatan faedah bersih (NII) dan pendapatan bukan faedah (NOII). 

 

Dengan margin faedah bersih (NIM) sektor dimampatkan sebanyak 21 mata asas (bps) dalam unjuran 2023, mereka menjangkakan NIM stabil pada 2024 berdasarkan andaian utama bahawa persaingan deposit dan pinjaman kekal rasional.

 

"Bagi pertumbuhan pinjaman, kami menjangkakan peningkatan sederhana dalam pertumbuhan pinjaman sistem kepada 4.5% hingga 5%, diterajui oleh permintaan kredit yang lebih kukuh daripada segmen perniagaan apabila perdagangan global bertambah baik serta pelancaran projek serta inisiatif infrastruktur di bawah pelbagai rancangan," katanya.

 

RHB Investment berkata, kadar pertumbuhan NOII pada 2024 (ramalan meningkat 6% dari tahun ke tahun) tidak mungkin selari dengan kenaikan 21% yang diunjurkan pada tahun lalu.

 

Katanya, keadaan itu disebabkan penyederhanaan dalam pertumbuhan pendapatan bukan berasaskan yuran.

 

Sementara itu, firma penyelidikan itu berkata, sektfor perbankan dijangka mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak 6% pad a2024 berbanding 2% pada 2023.

 

Bagaimanapun, pertumbuhan sektor itu dijangka sederhana kepada aliran 6% berbanding 11% pada tahun lalu. - DagangNews.com