NWP 'tendang' 6 pengarah mahukan kepimpinan baharu | DagangNews Skip to main content

NWP 'tendang' 6 pengarah mahukan kepimpinan baharu

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 19 Mei - Syarikat produk kayu-kayan, NWP Holdings Berhad mengumumkan bahawa kumpulan telah menyingkirkan enam pengarahnya berkuatkuasa serta-merta.

 

Ini selepas sembilan daripada 11 resolusi yang dibentangkan dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) hari ini dipersetujui.

 

Menurut kumpulan itu, pengarah yang dilucutkan jawatan mereka adalah Cheng Heang Swee, Datuk Chu Boon Tiong, Matthew Chan Cheng Han, Hong Chia Seong, Huang Kun-Fang dan Yew Onn Chong.

 

Dalam masa sama, keputusan undian daripada EGM tersebut menunjukkan 80% pemegang saham dan proksi yang hadir menyokong untuk melantik tiga pengarah baharu iaitu Datuk Seri Mak Hon Leong, Ooi Kek Keong dan Tan Vei Teck.

 

KEPUTUSAN undian pemegang saham kumpulan yang membawa kepada penyingkiran enam pengarah dan lantikan 3 pengarah baharu.
KEPUTUSAN undian pemegang saham kumpulan yang membawa kepada penyingkiran enam pengarah dan lantikan 3 pengarah baharu.

 

 

Vei Teck berkata, keputusan EGM itu membuktikan bahawa pemegang saham mahukan kepimpinan baharu yang dapat mengubah kumpulan.

 

“Dengan adanya perubahan kepimpinan, kami yakin dapat memacu kumpulan maju ke hadapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Tambah beliau, resolusi biasa 10 dan 11 tidak boleh dilaksanakan susulan perlembagaan menetapkan bahawa jumlah pengarah sesebuah syarikat tidak boleh kurang daripada lima orang.

 

Sebelum EGM yang diadakan secara masa maya itu bermula, kumpulan turut berdepan cabaran apabila Boon Tiong, Onn Chong, Soon Ling, Cheng Han, Chia Seong serta beberapa individu lain hadir ke kawasan penyiaran dan cuba untuk menangguhkannya.

 

“Saya sudah membuat laporan polis berhubung tindakan tersebut untuk menyatakan bahawa EGM ini dibenarkan oleh pihak berkuasa. Kami mempunyai perintah mahkamah untuk meneruskan EGM secara maya ini.

 

“Kami teruja dengan rancangan yang ada untuk kumpulan. Perkara pertama yang kami mahu lakukan adalah membentangkan hala tuju lima tahun NWP untuk berkembang dan memberi nilai kepada pemegang saham,”  jelasnya lanjut.

 

Semalam, NWP menerusi makluman di Bursa Malaysia mendedahkan bahawa kumpulan telah menggantungkan tugas Heang Swee sementara menunggu siasatan kumpulan setelah mendapati beliau gagal mempraktikkan objektif dan kebebasan semasa menjalankan peranannya. - DagangNews.com