OM Holdings kukuh kedudukan sebagai pengeluar mangan, ferroaloi terbesar Asia Tenggara - Malacca Securities | DagangNews Skip to main content

OM Holdings kukuh kedudukan sebagai pengeluar mangan, ferroaloi terbesar Asia Tenggara - Malacca Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Mei - Malacca Securities menjangkakan langkah OM Holdings Ltd untuk membeli semua pegangan Cahya Mata Sarawak dalam projek peleburan Samalaju akan mengukuhkan kedudukannya pengeluar bijih mangan dan ferroaloi bersepadu terbesar di pasaran Asia Tenggara yang beroperasi sebagai pusat  peleburan kuartil kos rendah dunia.

 

Katanya, langkah itu juga akan meningkatkan pendapatan jangka panjang selain memberi manfaat kepada kumpulan yang sedang berusaha mengatasi peningkatan peningkatan kos bahan mentah. 

 

Katanya, kumpulan itu juga komited mengenai rancangan pengembangan mereka untuk menukar dua relau ferrosilikon untuk menghasilkan aloi mangan pada masa akan datang.

 

"Dengan kehadiran kontraktor China sejak Disember 2021, kami menjangkakan proses penukaran tidak akan mengalami gangguan besar dan berada di landasan yang betul untuk ditauliahkan pada 3Q22

 

"Pada masa sama, perancangan untuk mengubah dua relau ferosilikon kepada pengeluaran logam silikon juga sedang dijalankan dengan kerja-kerja pentauliahan dan ujian dijangka berlangsung pada Disember 2022.

 

BACA JUGA: OM Holdings beli semua pegangan Cahya Mata Sarawak dalam projek peleburan Samalaju

 

"Logam silikon biasanya menghasilkan margin keuntungan yang lebih baik akan membolehkan kumpulan itu memanfaatkan industri lain seperti aluminium, bahan kimia dan solar," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' terhadap OM Holdings dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi iaitu RM4.01.

 

"Kami turut menyemak naik unjuran pendapatan kumpulan sebanyak 4.4% hingga 10.1% kepada RM286.7 juta, RM329.2 juta dan RM348.9 juta untuk FY22f, FY23f dan FY24f bagi mencerminkan sumbangan daripada pengambilalihan pegangan sebanyak 25% dalam OM Sarawak dan OM Samalaju. - DagangNews.com