OPR dipotong kalau PKP lanjut, ramal firma kewangan | DagangNews Skip to main content

OPR dipotong kalau PKP lanjut, ramal firma kewangan

 

KUALA LUMPUR 26 Jan. - Kadar dasar semalaman (OPR) mungkin bakal menyaksikan pemotongan sekali lagi pada tahun ini, ramal UOB Asset Management (M) Bhd.

 

Ramalan itu mungkin berlaku sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan selepas 4 Februari depan atau sekatan pergerakan lebih ketat diperkenalkan. 

 

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Pelaburannya, Francis Eng menjangkakan pengurangan kadar faedah itu tidak akan menyebabkan pasaran pendapatan tetap Malaysia kurang menarik kepada pelabur asing. 

 

Francis Eng
Francis Eng

 

"Kita berada dalam persekitaran, di mana kadar faedah global berada pada tahap yang sangat rendah dan terdapat trilion bon dengan hasil negatif di luar sana.

 

“Dengan banyak kecairan di luar sana, UOB berpendapat hasil di sini (Malaysia) masih cukup menarik," katanya pada taklimat media maya, menurut laporan Bernama. 

 

Pada minggu lalu, mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) memutuskan untuk mengekalkan OPR pada 1.75%. 

 

Ketika ini, penanda aras hasil Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) berada pada kira-kira 2.70%. 

 

"Persekitaran kadar faedah global yang rendah amat menyokong pasaran pendapatan tetap Malaysia.

 

"Tidak seperti pasaran ekuiti, UOB telah melihat pelabur asing memasuki Malaysia dalam ruang pendapatan tetap, tetapi warga asing terus membeli sekuriti pendapatan tetap Malaysia," tambahnya.

 

Mengulas mengenai ekonomi Malaysia, Eng meramalkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia hanya akan pulih semula ke paras sebelum COVID-19 menjelang 2022 berbanding 2021 akibat PKP 2.0 yang sedang berjalan.

 

Namun, ini bergantung kepada apa yang berlaku ketika PKP 2.0, di mana keadaan masih tidak menentu.

 

"Tetapi secara asasnya, kami yakin keberangkalian ianya berlaku lebih besar (kembali ke tahap sebelum COVID-19) pada 2022," katanya. 

 

Secara keseluruhan, Eng meramalkan ekonomi Asia akan meningkat melepasi paras sebelum COVID-19 pada 2021 diterajui China, kuasa ekonomi pertama yang akan pulih daripada COVID-19. - DagangNews.com