Optimis dengan prospek Farm Fresh, Mercury Securities nilai TP pada RM1.53  | DagangNews Skip to main content

Optimis dengan prospek Farm Fresh, Mercury Securities nilai TP pada RM1.53 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 3 Mac - Mercury Securities Sdn. Bhd. mengesyorkan harga sasaran (TP) Farm Fresh Bhd. pada RM1.53, lebih tinggi berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) pada RM1.35. 

 

Penilaian itu berdasarkan kepada purata harga kepada pendapatan (PE) sebanyak 28.8x dan pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2023 (FY23) sebanyak 5.3 sen. 

 

Harga sasaran itu mencerminkan potensi pulangan sebanyak 13.3% berbanding harga IPO.

 

"Kami menyukai saham syarikat ini kerana kehadiran pasarannya yang kukuh dalam industri tenusu Malaysia, serta rancangan pengembangan tempatan dan serantau. 

 

"Selain itu, Farm Fresh juga mempunyai polisi dividen sebanyak 25%," katanya dalam nota kajian bertarikh 2 Mac 2022. 

 

Farm Fresh telah melancarkan prospektus penyenaraiannya pada Isnin lalu, yang menyasarkan untuk menjana kira-kira RM1 bilion daripada IPO membabitkan penjualan 520.2 juta saham dan terbitan awam 223 juta saham baharu.

 

 

Baca : Farm Fresh rancang luas pasaran ke Filipina, Indonesia dan Hong Kong

 

 

Harga IPO itu ditetapkan pada RM1.35 sesaham dan permodalan pasaran RM2.5 bilion apabila disenaraikan, dengan modal diperbesarkan sebanyak 1.86 bilion saham, menjadikan IPO Farm Fresh yang terbesar di Malaysia sejak Jun 2021.

 

Syarikat akan menggunakan hasil yang dijana daripada terbitan awam berkenaan untuk membina hab pengeluaran, ladang tenusu dan kemudahan bersepadu baharu di Malaysia.

 

farm fresh

 

Selain itu, hasilnya juga akan digunakan untuk memperbesarkan kemudahan pengeluaran di Australia, pengembangan serantau di luar Malaysia selain modal kerja dan perbelanjaan penyenaraian.

 

Mercury Securities berkata, Farm Fresn merupakan salah satu pemain terbesar dan paling pesat berkembang dalam industri tenusu Malaysia dengan kehadiran pasaran yang kukuh dalam pelbagai kategori tenusu setakat sembilan bulan 2021.

 

Syarikat itu, katanya, menguasai 42% bahagian pasaran dalam Susu RTD Sejuk (54% dalam produk Susu RTD Sejuk yang dikilangkan dengan susu segar), 10% dalam Susu RTD Ambien (48% dalam produk Susu RTD Ambien yang dikeluarkan dengan susu segar), dan 11% dalam Yogurt.

 

"Kami berpendapat bahawa syarikat berada pada kedudukan yang baik untuk mengembangkan kehadirannya secara tempatan berlatarkan industri tenusu Malaysia yang semakin berkembang.

 

"Ini berdasarkan unjuran Frost & Sullivan dengan Purata Kadar Pertumbuhan Tahunan (CAGR) 5 tahun sebanyak 10%, 8%, 7% untuk Chilled Industri Susu RTD, Susu RTD Ambien, dan Yogurt bagi 2020 hingga 2025," jelasnya.

 

Firma itu berkata, Farm Fresh juga sedang meneroka dengan sebuah syarikat untuk menggunakan tanah sedia ada seluas 500 hingga 1,000 ekar untuk penubuhan projek tenusu bersepadu, dengan lembu betina pertama dijangka tiba pada suku pertama 2024.

 

"Kapasiti baharu ini dijangka meningkatkan jumlah pengeluaran tahunan bagi produk RTD sejuk siap sebanyak 20.8m liter dengan tambahan 2 barisan pengisian dan pembungkusan," katanya.

 

Selain itu, tambahnya, Farm Fresh turut berusaha mengembangkan kehadirannya di Indonesia dan Filipina dengan mewujudkan keupayaan pengeluaran dan pengedaran baharu, yang akan meningkatkan jumlah kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak kira-kira 20.8 juta liter. - DagangNews.com