Organisasi berkelayakan dijemput mohon geran bantuan pemulihan banjir Yayasan AirAsia | DagangNews Skip to main content

Organisasi berkelayakan dijemput mohon geran bantuan pemulihan banjir Yayasan AirAsia

KUALA LUMPUR 15 Mac - Yayasan AirAsia menjemput organiasi berkelayakan untuk memohon geran bantuan bagi pemulihan kawasan yang terjejas akibat banjir yang melanda negara pada Disember 2021 bersempena dengan ulang tahun ke-10 yayasan itu.

 

Pengarah Eksekutif Yayasan AirAsia, Yap Mun Ching berkata, organisasi yang berdaftar dengan rekod prestasi cemerlang dari segi penyampaian bantuan pemulihan pasca bencana boleh mengemukakan permohonan melalui airasiafoundation.com/humanitarian/malaysia-flood-relief.

 

“Kami berbangga kerana telah menyokong ribuan komuniti yang memerlukan di seluruh rantau ini, terutamanya di Malaysia sejak 10 tahun lepas. 

 

"Untuk terus memenuhi misi kemanusiaan ini, kami mengutamakan kerjasama dengan organisasi tempatan supaya kami dapat terus menyumbang dalam pembinaan kapasiti untuk organisasi bantuan tempatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Akibat banjir besar yang melanda negara pada Disember 2021, Yayasan AirAsia dengan kerjasama BigPay bagi menganjurkan kempen mengumpul derma bagi membantu keperluan pembinaan semula komuniti yang terjejas.

 

Selain itu, airasia food dan airasia ride turut menyumbang RM1 untuk setiap tempahan yang diterima sepanjang tempoh kempen tersebut.

 

Kempen yang telah dianjurkan di dalam penerbangan AirAsia dan dalam talian melalui aplikasi mudah alih BigPay berjaya mengumpul RM581,800 daripada orang ramai.

 

Secara keseluruhan, Yayasan AirAsia telah mengumpul lebih RM16 juta hasil daripada derma oleh orang ramai dan dana padanan daripada syarikat. - DagangNews.com