PADU: Tindakan pantas diambil tangani isu berbangkit - Rafizi | DagangNews Skip to main content

PADU: Tindakan pantas diambil tangani isu berbangkit - Rafizi

KUALA LUMPUR 3 Jan - Kementerian Ekonomi mengambil tindakan pantas untuk menangani beberapa isu berbangkit berhubung pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU).

 

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dalam hantaran di platform X berkata, isu penggunaan nombor kad pengenalan untuk pembatalan dan penukaran kata laluan telah diselesaikan pasukan yang mengendali PADU malam tadi.

 

"Kelemahan dalam pengendalian pengesahan ini tidak ditemui semasa Penilaian Postur Keselamatan (SPA). Pasukan telah mengambil tindakan segera serta rumusan telah dilaksanakan dalam tempoh satu jam dan selesai pada 2 Januari 2024, jam 9.15 malam," katanya.

 

Setakat 10 pagi tadi, sebanyak 233,782 pengguna berdaftar dengan PADU dan daripada jumlah itu, seramai 118,115 pengguna telah selesai dengan proses e-KYC (Kenali Pelanggan Anda Menerusi Platform Digital) manakala 71% dengan pengesahan e-KYC.

 

Mengenai kecacatan dan kelemahan dalam sistem itu, Rafizi berkata, maklumat pengemaskinian boleh dilaksana sejurus selepas daftar masuk tanpa melalui proses e-KYC bagi melicinkan proses.

 

Beliau berkata, e-KYC hanya dilaksana setelah pengemaskinian maklumat dilakukan dan individu ingin membuat pengesahan serta perakuan penghantaran profil.

 

Sebarang maklumat yang diisi tanpa e-KYC yang disahkan tidak akan diintegrasi ke dalam PADU dan hanya maklumat yang dikemukakan daripada pengguna yang telah berjaya melaksanakan pengesahan e-KYC dikira sah.

 

 

rafizi
Rafizi Ramli

 

 

"e-KYC merupakan proses pengesahan identiti pengguna. Pengguna perlu memastikan setiap maklumat yang dikemas kini disimpan pada setiap variabel dan setelah semua maklumat disimpan, pengguna perlu melaksanakan e-KYC bagi melaksanakan perakuan kepada maklumat yang telah dikemas kini," katanya.

 

Rafizi juga berkata, nombor telefon sama boleh digunakan sebanyak lima kali bagi memudahkan pendaftaran individu yang merupakan ahli isi rumah (18 tahun ke atas) atau ibu bapa yang tidak memiliki telefon untuk membuat pendaftaran akaun PADU.

 

Mengenai aduan individu sangkut semasa mengisi butiran isi rumah, Rafizi berkata secara umumnya, PADU direka bentuk bagi memusatkan maklumat setiap yang bertaraf warganegara dan pemastautin tetap di Malaysia.

 

"Bagi tujuan ini, setiap individu yang berumur 18 tahun dan ke atas perlu mempunyai akaun individu sendiri, seterusnya bagi tujuan pembentukan isi rumah, individu yang berada di bawah satu isi rumah perlu dimasukkan di bawah satu isi rumah bersama ahli yang lain termasuklah mereka yang berusia di bawah 18 tahun dan bukan warganegara.

 

BACA JUGA: Tangguh pendaftaran PADU sehingga isu keselamatan ditangani - Ong Kian Ming

 

Rafizi berkata bagi memastikan maklumat isi rumah terselaras, hanya ketua isi rumah dibenarkan membuat pengemaskinian, lapor Bernama.

 

"Perakuan bagi ahli isi rumah hanya boleh dibuat apabila ketua isi rumah telah selesai mengisi maklumat isi rumah masing-masing," katanya.

 

Beliau berkata justeru itu, setiap individu adalah digalakkan untuk mengisi bersama-sama isi rumah yang lain bagi memudahkan proses perakuan. - DagangNews.com