Pakej bantuan kerajaan terus pacu ekonomi - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Pakej bantuan kerajaan terus pacu ekonomi - Penganalisis

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 16 Jun - Pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengenai Pelan Pemulihan Negara dijangka tidak menjejaskan prospek pertumbuhan tahun ini, setelah mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19.

 

Berdasarkan analisis firma penyelidikan, lanjutan perintah kawalan pergerakan (PKP) menyeluruh fasa pertama yang dilaksanakan ketika ini sudah dijangkakan, tambahan pula dengan kemunculan varian baharu wabak ini.

 

Kenanga Research mengekalkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berkembang antara 5% hingga 6%, tetapi berpendapat, terdapat keperluan untuk menyuntik rangsangan fiskal tambahan bagi membantu pemulihan ekonomi negara.

 

Katanya, defisit fiskal tahun ini juga dianggarkan kekal pada paras 6.3% daripada KDNK (unjuran Kementerian Kewangan, 6%) dengan jumlah hutang kerajaan persekutuan dijangka meningkat kepada 64.5%.

 

"Meskipun tiada pakej rangsangan diumumkan di bawah pelan pemulihan ini, namun, kami jangkakan bantuan seperti program subsidi upah, moratorium bersasar dan bantuan kewangan akan terus menyokong ekonomi. 

 

"Setakat ini, kerajaan telah mengumumkan suntikan fiskal secara langsung bernilai RM71 bilion (iaitu 4.6% daripada KDNK) daripada keseluruhan RM368.6 bilion (25.7% daripada KDNK) sejak kemunculan pandemik ini tahun lalu," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Pelan Pemulihan Negara yang merangkumi 4 fasa PKP secara berperingkat, merupakan strategi peralihan keluar daripada kemelut pandemik COVID-19.

 

Pada 28 Mei lalu, kerajaan memutuskan melaksanakan PKP menyeluruh di seluruh negara selama dua minggu sebelum dilanjutkan lagi hingga 28 Jun 2021.

 

Pelaksanaan PKP secara menyeluruh sejak 1 Jun lalu menyaksikan negara mengalami kerugian ekonomi sebanyak RM1 bilion sehari. 

 

Baca : PM umum Pelan Pemulihan Negara merangkumi 4 fasa PKP

 

Baca : Ekonomi negara rugi RM1 bilion sehari ketika ini - PM

 

Menurut Kenanga Research, sektor peruncitan dijangka terus tertekan dalam tempoh terdekat memandangkan aktiviti pengguna masih lagi terbatas dan juga penutupan sektor tidak penting. 

 

Namun, katanya, pengguna dan perniagaan yang telah beralih kepada platform dalam talian, kurang terkesan dengan impak akibat PKP kali ini.

 

"Bagaimanapun, ekonomi akan terus disokong oleh industri pembuatan terutama yang dipacu eksport dengan mengambil kira permintaan luaran yang kukuh manakala sektor utama seperti elektrik dan elektronik serta sarung tangan getah dibenarkan beroperasi meskipun kapasiti dikurangkan," katanya.

 

Firma itu menjangkakan situasi akan kembali pulih secara berperingkat apabila negara beralih kepada fasa kedua (Julai dan Ogos) dan ketiga (September dan Oktober) dengan lebih banyak sektor dibenarkan beroperasi.

 

Bank Negara Malaysia juga dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 1.75% sepanjang tahun ini, tambahnya.

 

 

Gambar MalayMail
Program vaksin yang lambat boleh menjejaskan prospek pertumbuhan ekonomi. - Gambar MalayMail

 

 

Di sebalik pelan pemulihan itu, Kenanga Research berpendapat masih wujud faktor negatif yang boleh memberi kesan kepada prospek pertumbuhan. 

 

"Ini termasuklah program vaksinasi yang lebih lambat berbanding jangkaan dan kemunculan varian baharu seperti Delta yang semakin memburukkan kes jangkitan COVID-19.

 

"Selain itu, situasi politik juga perlu diambil kira terutama apabila Parlimen bersidang pada September atau Oktober ini jika pandemik ini dapat dikawal. 

 

"Sekiranya, pergolakan politik semakin tegang, ia mungkin boleh menjejaskan pembentangan Belanjawan 2022," katanya. 

 

Parlimen dijangka bersidang sekitar September atau Oktober dengan prosedur standard operasi (SOP) yang ketat.

 

Sementara itu, CGS-CIMB berkata, kerajaan mungkin mengadakan pilihan raya Sarawak setelah pulih daripada pandemik ini dan juga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) jika pertikaian isu politik masih tidak dapat diselesaikan. 

 

Firma itu masih mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK tahun ini pada 4.4% disokong program vaksinasi yang sedang berjalan ketika ini. 

 

"Jika sasaran kerajaan untuk mencapai imuniti berkelompok (80% divaksinkan menjelang 7 Disember) tercapai, kami melihat pelabur akan beralih kepada saham-saham pemulihan ketika menjelangnya fasa ketiga dan Belanjawan 2022," katanya. 

 

Setakat semalam, kadar pemberian suntikan vaksin ke seluruh negara terus meningkat dan semakin menghampiri sasaran 200,000 dos sehari.

 

Berdasarkan perangkaan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV), kadar suntikan vaksin atau inokulasi yang direkodkan semalam ialah sebanyak 197,963 dos, tertinggi sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) mula dilaksanakan pada 23 Februari lalu. - DagangNews.com