PM umum Pelan Pemulihan Negara merangkumi 4 fasa PKP  | DagangNews Skip to main content

PM umum Pelan Pemulihan Negara merangkumi 4 fasa PKP 

Muhyiddin Yassin
 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Jun - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan Pelan Pemulihan Negara yang merupakan satu strategi peralihan keluar secara berfasa dari kemelut pandemik COVID-19. 

 

Jelas beliau, pelan itu merupakan satu panduan yang dirangka secara berhati-hati berdasarkan data dan sains untuk membolehkan rakyat Malaysia kembali kepada kehidupan harian biasa atau back to normalcy. 

 

“Strategi Pelan Pemulihan Negara ini merangkumi empat fasa dan akan melibatkan pelan peralihan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara berperingkat. Setiap fasa pelan pemulihan ini berpaksikan kepada data yang bersandarkan tiga indikator ambang utama ataupun threshold untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya. 

 

“Indikator Pertama ialah keadaan penularan COVID-19 dalam komuniti berdasarkan bilangan kes jangkitan harian; Indikator Kedua ialah keupayaan sistem kesihatan awam berdasarkan kadar penggunaan katil di Wad ICU; dan Indikator Ketiganya ialah tahap populasi yang dilindungi berdasarkan peratusan yang telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin. 

 

pelan pemulihan negara

 

“Pendekatan secara berperingkat ini bermula dengan Fasa Pertama iaitu pelaksanaan PKP Menyeluruh yang sedang dilaksanakan sekarang dalam keadaan bilangan kes COVID-19 adalah tinggi, sistem kesihatan awam di tahap kritikal dan kadar pencapaian vaksinasi yang masih rendah,” katanya ketika menyampaikan pengumuman pelan berkenaan secara maya hari ini. 

 

Pada 28 Mei lalu, kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan PKP secara menyeluruh di seluruh negara bermula 1 Jun hingga 14 Jun 2021 dan telah dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi sehingga 28 Jun 2021.

 

Baca : Ekonomi negara rugi RM1 bilion sehari ketika ini - PM

 

PKP secara menyeluruh untuk Fasa Pertama dilaksanakan setelah mengambil kira penularan kes COVID-19 dalam komuniti, kewujudan varian-varian baharu yang lebih ganas dengan kadar kebolehjangkitan tinggi yang mengancam keupayaan sistem kesihatan awam negara kita, jelas Muhyiddin.

 

Selain itu, katanya lagi, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) masih dalam peringkat awal pelaksanaannya di samping bekalan vaksin yang dijangka lebih stabil mulai bulan Jun ini. - DagangNews.com