Pakej data mampu milik serendah RM33, data 40 GB ditawar khusus kepada penunggang p-hailing | DagangNews Skip to main content

Pakej data mampu milik serendah RM33, data 40 GB ditawar khusus kepada penunggang p-hailing

Pelan data mampu milik kepada penunggang, pemandu p-hailing ditawarkan CelcomDigi Berhad (CelcomDigi), Maxis Berhad (Maxis), TM (Unifi Mobile), U Mobile Sdn Bhd (U Mobile) dan YTL Communications (Yes 5G)./ Gambar Kementerian Komunikasi
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 23 Jan - Pakej data khusus kepada penunggang dan pemandu p-hailing dilancarkan hari ini pada harga serendah RM33 bersama kuota data yang besar bermula dari 40GB.

 

Pelan data mampu milik itu ditawarkan CelcomDigi Berhad (CelcomDigi), Maxis Berhad (Maxis), TM (Unifi Mobile), U Mobile Sdn Bhd (U Mobile) dan YTL Communications (Yes 5G).

 

Menurut kenyataan bersama kelima-lima syarikat telekomunikasi tersebut, semua penunggang p-hailing yang berdaftar mempunyai pilihan untuk memilih syarikat telco yang mampu memberikan mereka liputan terbaik serta pelan yang sesuai untuk membantu mereka menjalankan penghantaran setiap hari.

 

Di bawah inisiatif Pakej P-Hailing Rahmah, pelan-pelan yang ditawarkan telah dipilih susun oleh syarikat telekomunikasi dengan teliti dan menawarkan penunggang dan pemandu p-hailing dengan nilai yang terbaik. 

 

"Bergantung pada syarikat telekomunikasi, pelan pascabayar dan prabayar yang disediakan boleh didapati sebagai pakej peranti atau pelan SIM sahaja dari serendah RM33 bersama kuota data yang besar bermula dari 40GB," katanya.

 

Syarikat telekomunikasi juga akan bekerjasama dengan 16 syarikat p-hailing untuk menyokong komuniti p-hailing Malaysia dengan pelan data mampu milik yang memberikan kesalinghubungan lancar yang penting bagi menjalankan urusan penghantaran harian mereka.

 

"P-hailing yang telah menjadi sebahagian besar daripada kehidupan rakyat Malaysia ditakrifkan sebagai penghantaran makanan, minuman dan bungkusan menggunakan kenderaan seperti motosikal dan kereta.

 

"Penunggang dan pemandu p-hailing yang berminat dan layak boleh mendapatkan maklumat lebih lanjut tentang tawaran Pakej P-Hailing Rahmah yang disediakan melalui portal atau aplikasi penyedia perkhidmatan p-hailing masing-masing bermula hari ini," katanya.

 

p-haling
Majlis pelancaran Pakej P-Hailing Rahmah dirasmikan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil di ibu negara hari ini.

 

Dianggarkan terdapat kira-kira 200,000 penunggang dan pemandu p-hailing di seluruh negara.

 

Majlis pelancaran Pakej P-Hailing Rahmah dirasmikan oleh Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan dihadiri oleh wakil syarikat telco, syarikat p-hailing serta penunggang dan pemandu p-hailing.

 

Syarikat telco dalam kenyataan itu juga menyatakan komiten mereka untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan semua rakyat Malaysia mendapat akses Internet yang mudah serta mampu milik. - DagangNews.com