Pan Borneo punca cetus konflik CMS? | DagangNews Skip to main content

Pan Borneo punca cetus konflik CMS?

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Mei - Konflik dalaman Cahya Mata Sarawak (CMS) yang memuncak minggu lalu dikatakan berpunca daripada kerugian projek Lebuh Raya Pan Borneo. 

 

Projek fasa 1 bernilai RM1.36 bilion bagi kontrak WPC06 itu dianugerahkan kepada syarikat usaha sama antara PPES Works Sdn. Bhd. dengan Bina Puri Sdn. Bhd. 

 

CMS sebelum ini memiliki 51% dalam PPES Works tetapi kemudiannya berkurangan kepada 49% selepas ia menjual 2% pegangan kepada Sarawak Economic Development Corporation (SEDC) pada Oktober 2020.

 

Menerusi syarikat usaha sama itu pula, CMS menguasai 70% pegangan manakala selebihnya adalah Bina Puri.

 

Namun, Maybank Investment Bank (IB) berpendapat, dengan kerjasama 70:30, projek itu masih memberi keuntungan kepada syarikat. 

 

"Tetapi, apa yang menjadi pencetus adalah kerugian yang dialami oleh PPES Works dalam kerja kontrak atau pembinaan projek ini," katanya dalam nota kajian Jumaat lalu.

 

Dalam taklimat kepada pelabur Khamis lalu, Pengarah Urusan Kumpulan CMS, Datuk Isacc Lugun yakin tiada sebarang isu membabitkan penipuan dalam kes berkaitan penggantungan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan, Syed Hizam Alsagoff. 

 

Syed Hizam digantung tugas selama 30 hari berkuatkuasa serta-merta mulai 5 Mei bagi membantu siasatan terhadap dakwaan kemungkinan salah urus kewangan berkaitan operasi dan pelaburan syarikat.

 

Susulan penggantungan itu, saham CMS jatuh 33 sen atau 16.26% pada Khamis.

 

Sebelum itu, pada 22 April lalu, Timbalan Pengerusi Kumpulan CMS Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib dilaporkan mengambil cuti daripada semua kedudukannya di dalam kumpulan, susulan siasatan terhadap dakwaan wujudnya konik kepentingan membabitkan diri beliau dengan bekas ketua pegawai maklumat CMS, Karl Vink @ Khalid Abdullah.

 

Bagaimanapun, ketika taklimat itu juga, CMS menjelaskan kedua-dua perkara tersebut tidak berkaitan sebaliknya mengumumkan lembaga pengarah berpuas hati dengan tuduhan yang membabitkan timbalan pengerusi tidak mempunyai asas yang kukuh dan beliau akan kembali bertugas.

 

CMS buat masa ini sedang menyusun Terma Rujukan (ToR) untuk melantik perunding, dengan sasaran sekitar pertengahan bulan ini

 

Perunding bebas itu dilantik untuk menyiasat kerugian dalam projek Pan Borneo (di peringkat kontrak) untuk menyemak semula sistem kawalan kumpulan dan kerangka pengurangan risiko untuk memastikan perkara ini tidak berulang lagi pada masa akan datang.

 

Bagi Maybank IB, hasil keputusan ini kemungkinan akan mengambil sedikit masa. 

 

"Ini akan menyaksikan pembelian semula saham yang berpotensi menurunkan harga sahamnya dalam tempoh terdekat," katanya.

 

Firma itu turut menyemak semula harga sasaran CMS kepada RM1.75 berbanding RM2.50 sebelum itu. - DagangNews.com