Panda Eco System memeterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities bagi penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Panda Eco System memeterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities bagi penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 20 Okt - Panda Eco System Berhad memeterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities Sdn Bhd untuk tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.

 

Syarikat itu merupakan pakar dalam menyediakan penyelesaian pengurusan runcit yang disesuaikan bagi memenuhi keperluan operasi kedai rangkaian runcit.

 

Dengan lebih dua dekad pengalaman dalam bidang ini, kumpulan telah membina satu set penyelesaian, membentuk sistem pengurusan runcit bagi mengurus dan meningkatkan pelbagai aspek operasi runcit, termasuk tempat jualan (POS), gudang dan inventori, bekalan rantaian, perhubungan pelanggan dan pelaporan kewangan.

 

IPO Panda Eco System melibatkan jumlah penawaran sebanyak 171.1 juta saham biasa mewakili 25.5% daripada modal sahamnya yang diperbesarkan sebanyak 671.2 juta saham semasa penyenaraian, terdiri daripada terbitan awam sebanyak 109.3 juta saham baharu dan tawaran untuk jualan sebanyak 61.8 juta saham sedia ada.

 

Pengarah Eksekutif yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Loo Chee Wee berkata, sistem pengurusan runcit mereka menawarkan keperluan ramai secara langsung, menawarkan pengurusan inventori, mengoptimumkan rantaian bekalan, pendigitalan dan mengurangkan pembaziran dan kecurian seterusnya meningkatkan kecekapan operasi keseluruhan.

 

"Kami berada pada kedudukan yang baik bagi membantu pelanggan sedia ada dan bakal pelanggan dalam memperkemas sistem runcit mereka.

 

"Terbitan IPO kami sejajar dengan rancangan pengembangan syarikat, dan hasil yang akan dikumpul akan menjadi pemangkin untuk membangunkan penyelesaian baharu, mengembangkan operasi kami di Malaysia, dan meneroka pasaran serantau yang rancak seperti Indonesia dan Filipina,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

M & A Securities merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan untuk IPO kumpulan itu.- DagangNews.com