KUALA LUMPUR 25 Feb - Country Heights Holdings Bhd. merekodkan kerugian bersih yang lebih rendah pada suku keempat berakhir 31 Disember 2021 sebanyak RM4.75 juta berbanding RM16.22 juta bagi tempoh sama 2020.
Pendapatan bagi tempoh itu bagaimanapun meningkat kepada RM13.28 juta daripada RM10.91 juta disumbangkan terutamanya menerusi peningkatan hasil daripada segmen penjagaan kesihatan dan hartanah, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Segmen penjagaan kesihatan bagi tempoh itu meningkat 27.8% kepada RM6.9 juta manakala segmen hartanah pula merekodkan pendapatan sebanyak RM4.3 juta.
Bagi perbandingan suku ke suku, pendapatan kumpulan susut 81% berbanding suku ketiga 2021 yang merekodkan pendapatan berjumlah RM70.6 juta.
Sementara itu, bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FY2021), kumpulan kembali merekodkan keuntungan bersih berjumlah RM2.65 juta berbanding kerugian bersih RM33.88 juta bagi FY2020 apabila pendapatan bagi tempoh itu meningkat.
Untuk tempoh itu, pendapatan kumpulan melonjak 173% kepada RM99.9 juta berbanding RM36.6 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya terutamanya menerusi penjualan tanah di CH Damansara di bawah segmen hartanah dan juga peningkatan hasil daripada segmen penjagaan kesihatan.
Menurut Country Heights, pandemik COVID-19 terus menjejaskan prestasi operasi kumpulan dan pengurusan menjangkakan ia akan terus tertekan untuk baki tahun ini.
Katanya, perniagaan utama yang terus beroperasi ialah segmen penjagaan kesihatan memandangkan kadar vaksinasi tinggi dan kelonggaran berperingkat meningkatkan kedatangan pengunjung kepada pusat kesihatan.
"Pengurusan berharap pendekatan baharu kerajaan dalam menangani COVID-19 sebagai endemik berkemungkinan akan melindungi aktiviti ekonomi negara daripada gangguan berkaitan pandemik pada masa hadapan," katanya.
Kumpulan juga memberitahu, segmen hospitaliti masih lagi terjejas akibat pandemik dengan The Palace of the Golden Horses masih lagi ditutup tanpa tempoh masa yang jelas untuk dibuka semula. - DagangNews.com