Parlimen bersidang September atau Oktober - PM | DagangNews Skip to main content

Parlimen bersidang September atau Oktober - PM

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 15 Jun - Sidang Parlimen dijangka kembali bersidang sekitar September atau Oktober mengikut prosedur standard operasi (SOP) yang ketat, menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 

"Ini adalah pendirian saya dari awal bahawa sistem Demokrasi Berparlimen boleh berfungsi semula pada masa yang sesuai, iaitu setelah kes-kes COVID-19 terkawal dan kita hampir mencapai imuniti berkelompok," katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam perutusan khas mengumumkan Pelan Pemulihan Negara dalam menangani situasi pandemik COVID-19 yang merangkumi empat fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

 

Malah, Perdana Menteri turut menegaskan akan terus akan terus mendokong prinsip Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan. 

 

"Jangan ada pihak-pihak yang sengaja menimbulkan keresahan dan kecelaruan dalam kalangan rakyat sehingga mengganggu tugas utama kerajaan untuk menangani pandemik COVID-19," tambahnya lagi. 

 

Pelbagai pihak sebelum ini mendesak supaya Parlimen kembali bersidang setelah melihat situasi semasa pandemik ketika ini. 

 

Pada 4 Jun lalu, kerajaan dilaporkan sedang mengkaji konsep dan mekanisme ke arah pembukaan semula Parlimen secara hibrid yang membabitkan persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, langkah sedemikian diambil bagi memastikan Parlimen berupaya berperanan seperti sewajarnya, walaupun negara masih berdepan dengan pandemik COVID-19 dan program pemulihan yang giat berjalan di semua peringkat. 

 

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, beliau memahami kegusaran yang dihadapi rakyat terutama yang terkesan teruk akibat pandemik ini baik dari segi fizikal mahupun emosi. 

 

"Ada di antara anda yang kehilangan orang tersayang, berkurang punca pendapatan dan diselubungi keresahan yang berpanjangan.

 

"Namun kita jangan sekali-kali mengalah. Kita perlu terus berjuang, bersatu hati dan tenaga dalam menjayakan Pelan Pemulihan Negara ini bersama-sama sebagai sebuah bangsa Malaysia yang cekal dan berhati kental.

 

"Saya berjanji kerajaan akan terus membantu sedaya mampu, tanpa pernah putus berusaha dan berikhtiar, supaya dapat bersama kita keluar dari kemelut pandemik ini secepat mungkin," katanya. - DagangNews.com