Pasaran bon tempatan catat aliran keluar asing pada Jun dalam tempoh 14 bulan | DagangNews Skip to main content

Pasaran bon tempatan catat aliran keluar asing pada Jun dalam tempoh 14 bulan

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com
 

 

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Aliran asing dalam pasaran bon tempatan menjadi negatif buat kali pertama pada Jun lalu dalam tempoh 14 bulan, menurut Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC).

 

Pegangan asing dalam pasaran bon tempatan juga menyusut RM500 juta kepada RM247.4 bilion berbanding Mei sebanyak RM247.9 bilion. 

 

Agensi penarafan itu berkata, aliran keluar itu disebabkan pegangan asing yang semakin berkurangan dalam nota jangka pendek seperti Bil Perbendaharaan Malaysia (MTB) dan Nota Monetari Bank Negara Malaysia (BNMN). 

 

"Ia menyaksikan pegangan asing dalam MTB menyusut RM1.1 bilion kepada RM5.5 bilion (berbanding Mei, RM6.6 bilion).

 

"Bagi BNMN pula, pegangan asing menyusut RM1 bilion kepada sifar di tengah-tengah penebusan penuh dan kekurangan terbitan baharu sepanjang Jun," katanya dalam kenyataan baru-baru ini. 

 

Pada masa sama, nota hutang tempatan merekodkan aliran masuk asing yang kecil pada bulan tersebut. 

 

MARC berkata, Bil Perbendaharaan Islamik Malaysia (MITB) menarik aliran masuk tertinggi sebanyak RM900 juta diikuti Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) sebanyak RM400 juta.

 

Selain itu, Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) menyaksikan aliran masuk berjumlah RM200 juta dan bon korporat pula sebanyak RM54.1 juta. 

 

Pegangan asing bagi MGS berjumlah RM192.1 bilion pada Jun, berbanding RM191.7 bilion pada Mei.

 

Keluk hasil MGS jatuh pada Jun sejajar dengan penurunan hasil 1 dan 5 tahun manakala hasil bagi tempoh yang lebih panjang adalah lebih tinggi. 

 

Menurut agensi itu, hasil MGS jangka pendek mencatat penurunan ekoran sentimen di peringkat domestik semakin terjejas. 

 

"Kes jangkitan COVID-19 masih kekal tinggi di sebalik langkah sekatan di seluruh negara. Ini mendorong kepada sekatan yang lebih ketat, sekali gus menggugat prospek ekonomi," katanya. 

 

Menjelang akhir Jun pula, MARC berkata, kerajaan melancarkan pakej bantuan, Pemulih bernilai RM150 bilion dengan suntikan fiskal langsung sebanyak RM10 bilion. 

 

Pakej ini termasuklah pemberian tunai secara langsung, subsidi dan skim pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dikenali i-Citra sebanyak RM30 bilion. 

 

"Di tengah-tengah jangkaan defisit fiskal yang tinggi dan pembelian MGS dari KWSP yang menyusut, hasil MGS jangka panjang telah meningkat," jelasnya. 

 

Pada akhir Jun, keluk hasil MGS bagi 1 dan 5 tahun susut antara 5 mata asas (bps) hingga 7 bps dengan MGS 3 tahun berada pada paras 2.26% (berbanding Mei, 2.31%).

 

Sementara itu, hasil bagi tempoh jangka panjang iaitu 15 dan 30 tahun pula masing-masing meningkat antara 3 hingga 5 bps. Hasil MGS 10 tahun pula meningkat 5bps kepada 3.29%.

 

Ia turut menyaksikan jumlah dagangan bulanan pada Jun meningkat kepada RM54.1 bilion berbanding RM33.3 bilion pada Mei. - DagangNews.com