Pasaran semikonduktor tempatan diunjur catat pemulihan pendapatan secara beransur-ansur | DagangNews Skip to main content

Pasaran semikonduktor tempatan diunjur catat pemulihan pendapatan secara beransur-ansur

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 9 Ogos - Pasaran semikonduktor tempatan diunjur terus menyaksikan pemulihan pendapatan secara beransur-ansur disokong peningkatan permintaan global.

 

TA Securities berkata, potensi berakhirnya kitaran kenaikan di Amerika Syarikat (AS) pada September ini akan menjadi pentanda baik bagi penilaian sektor itu.

 

"Kami mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor itu semikonduktor.

 

"Kami percaya pembetulan pasaran baru-baru ini memberikan peluang yang baik untuk pelabur mengumpul saham semikonduktor terlebih jual," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pada Jun 2024, semikonduktor global meneruskan trajektori menaiknya dengan mencatatkan satu lagi pertumbuhan jualan yang baik.

 

Menurut Persatuan Industri Semikonduktor (SIA), jualan semikonduktor global pada bulan itu berjumlah AS$50 bilion berbanding Mei 2024 sebanyak AS$49.1 bilion.

 

"Ia menandakan pemulihan jualan untuk bulan kelapan berturut-turut, manakala dari bulan ke bulan, ia meningkat untuk bulan keempat berturut-turut. 

 

"Ini seterusnya mengesahkan bahawa pasaran semikonduktor global berada dalam kitaran menaik pada masa ini," katanya.

 

Menurut Silicon Manufacturers Group, penghantaran wafer silikon di seluruh dunia melonjak 7.1% dari suku tahun ke suku tahun pada suku kedua 2024, didorong permintaan kukuh terhadap produk yang dikaitkan dengan pusat data dan kecerdasan buatan (AI) generatif.

 

Katanya, pasaran wafer silikon dijangka meneruskan pemulihannya, disokong peningkatan bilangan fabrikasi semikonduktor baharu dalam pembinaan serta pemulihan permintaan.

 

"Kami menaikkan penarafan Unisem (M) Bhd, Malaysia Pacific Industries Bhd dan Elsoft Research Bhd kepada 'beli' berbanding 'pegang' dan pada masa sama mengekalkan saranan 'beli' untuk Inari Amertron Bhd," katanya.- DagangNews.com