Payang Walk Terengganu tampilkan beca berkuasa solar, rangsang ekonomi peniaga kecil | DagangNews Skip to main content

Payang Walk Terengganu tampilkan beca berkuasa solar, rangsang ekonomi peniaga kecil

Beca yang dinaik taraf menggunakan tenaga solar untuk beroperasi di Payang Walk bermula 21 Julai 2023.
oleh HUSNA ABDULLAH

KUALA TERENGGANU 3 Julai - Prihatin dengan keluhan peniaga kecil dan pengayuh beca yang semakin tertekan dengan kemelesetan ekonomi ketika ini mendorong kerajaan negeri Terengganu mengambil insiatif untuk melaksanakan Program Payang Walk untuk membantu meningkatkan taraf ekonomi mereka.

 

Program yang berkonsepkan aktiviti jualan dan pelancongan di pinggir Sungai Terengganu itu akan melibatkan seramai 100 peniaga kecil-kecilan yang akan menjual barangan tempatan dan makanan tradisional yang menjadi tumpuan pelancong.

 

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif berkata, program itu akan bermula pada 21 Julai ini dan akan dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

 

 

Terengganu
Rosli Latif (kiri) dan Ariffin Deraman (kanan) ketika mendengar taklimat mengenai Payang Walk di Menara MBKT, Kuala Terengganu pada 3 Julai 2023.

 


Beliau berkata, Payang Walk juga akan memberi pendedahan kepada pelancong mengenai keunikan kebudayaan dan kesenian negeri itu melalui persembahan rodat, dikir barat dan wayang kulit di pentas utama.

 

"Kuala Terengganu adalah sebuah bandar raya yang mempunyai pemandangan indah sesuai dengan imejnya sebagai bandar raya warisan pesisir air.

 

"Program ini akan meningkatkan peranan sektor pelancongan sebagai penggerak ekonomi daerah melalui inisiatif pembangunan produk-produk pelancongan baharu selain memberi nilai tambah pada kawasan pelancongan sedia ada.

 

"Insyaallah, program ini akan diperluaskan ke pusat pelancongan di Dataran Batu Buruk dan Taman Bandaran Kuala Nerus agar lebih ramai peniaga kecil dan pengayuh beca dapat manfaatnya," katanya pada sidang media di Wisma Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) hari ini.


 

parafrasa
Payang Walk menyediakan pelbagai aktiviti jualan dan persembahan kesenian serta kebudayaan setiap hari Jumaat bermula 21 Julai ini.

 

parafrasa

 


Ditanya mengenai kemampuan pengayuh beca untuk beroperasi dalam tempoh yang lama memandangkan kebanyakan mereka adalah warga emas pula, Rosli berkata, MBKT telah bekerjasama dengan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) untuk menaik taraf beca-beca tersebut dengan rupa bentuk yang lebih menarik dan dilengkapi kemudahan solar.

 

Katanya, terdapat empat beca yang telah dinaik taraf melalui kerjasama tersebut manakala sembilan lagi masih di peringkat ubahsuai dan MBKT yakin lebih ramai pengayuh beca akan menyertai program tersebut secara berperingkat selepas ini.

 

"Bagi melancarkan lagi program Payang Walk, MBKT akan melakukan penutupan jalan di Pesisir Payang pada hari Jumaat sahaja bermula pukul 3 petang sehingga 12 tengah malam.

 

"Kadar harga yang akan dikenakan belum ditetapkan lagi namun kita beri jaminan ia sangat berpatutan dengan pengalaman yang bakal dinikmati sepanjang perjalanan menaiki beca tersebut," katanya. 

 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, Payang Walk adalah dimensi baharu sektor pelancongan di Terengganu kerana ia akan menjadi satu ikon tarikan ke negeri itu.

 

"Beca yang dinaiktaraf nanti akan menonjolkan identiti dan ciri-ciri tradisional binaan Terengganu yang tidak sama dengan beca di negeri lain.

 

"Kita mahu pengayuh beca ini mendapat sekurang-kurangnya RM2,000 setiap bulan dan menarik lebih ramai anak muda menjadi pengayuh beca yang profesional dengan pendapatan yang lebih stabil," katanya. - DagangNews.com