Pecca patut letak segmen pengedaran PPE di bawah kumpulan sejak awal - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Pecca patut letak segmen pengedaran PPE di bawah kumpulan sejak awal - Penganalisis

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 3 Ogos - Pecca Group Berhad sepatutnya meletakkan segmen pengedaran produk peralatan perlindungan diri (PPE) secara langsung di bawah kawalan kumpulan sejak awal lagi berbanding melaksanakan penyumberluaran menerusi Rentas Health Sdn. Bhd. 

 

Langkah itu mungkin lebih baik untuk pemegang saham minoriti syarikat pembuatan bahagian dalaman kerusi kulit automotif berkenaan, daripada perlu mengambil alih ekuiti Rentas Health pada nilai yang lebih tinggi, menurut penganalisis di Hong Leong Investment Bank Research (HLIB), Daniel Wong.

 

“Apabila Pecca memulakan pembuatan PPE pada pertengahan 2020, pihak pengurusannya menjelaskan bahawa alasan di sebalik penyumberluaran pengedaran itu dipertanggungjawabkan kepada Rentas Health adalah kerana kumpulan mahu menumpukan kepada skop kerja pembuatan PPE dan mengurangkan risiko perniagaan secara keseluruhannya. 

 

“Dalam pada itu, ia juga menjelaskan bahawa kedua-dua Pecca dan Rentas Health bertindak secara bebas (arm’s length transaction). Namun, cadangan pengambilalihan ini kini dilihat berpatah daripada keputusan awal.

 

“Mengambil kira harga pengambilalihan Rentas Health, mungkin ia akan menjadi lebih baik buat pemegang saham minoriti sekiranya pengedaran produk PPE diletakkan secara langsung di bawah Pecca sejak awal,” jelas Wong dalam satu nota kajian.

 

Pecca berhasrat untuk mengambil alih 51% kepentingan di dalam Rentas Health yang dimiliki oleh ahli keluarga salah seorang pemegang saham utama kumpulan, pada nilai RM100 juta.

 

Rentas Health secara dasarnya terlibat dalam pembekalan peralatan perubatan di mana termasuk kit pengujian COVID-19 dan PPE serta produk berkaitan lain seperti pelitup mula, penutup baju, pelindung muka, pembersih tangan dan pembasmi kuman. 

 

Pengambilalihan itu dijangka diselesaikan menerusi wang tunai RM50 juta dan terbitan 12 juta saham baharu di dalam Pecca pada kadar RM4.17 sesaham.

 

“Walaupun pandemik COVID-19 semasa dijangka berubah dan terdapat kemungkinan menjadi endemik, kemampanan jangka panjang bagi permintaan produk PPE dan kit pengujian PCR masih belum pasti, sementara terdapat kemungkinan tinggi kemasukan dan persaingan baharu di dalam pasaran berkenaan pada masa akan datang. 

 

“Prospek juga menunjukkan bahawa kit pengujian PCR akan mencanak pada tahun 2021 dengan 33.5 juta unit, menyusut kepada 19.0 juta pada 2022 dan 10.0 juta pada 2023,” tambah Wong lanjut. 

 

HLIB mengekalkan saranan ‘jual’ saham Pecca dengan harga sasaran (TP) dikekalkan pada kadar RM2 sesaham.

 

Penganalisis di AmInvestment Bank (AmInvest), Jeremie Yap sebaliknya melihat nilai pengambilalihan itu adalah berpatutan berdasarkan jaminan keuntungan tahun kewangan 2022 (FY22) sebanyak RM11.7 juta daripada Rentas Health.

 

Pengambilalihan itu juga dijangka melonjakkan perolehan sesaham (EPS) Pecca pada FY22 sebanyak kira-kira 40%, menurut Yap, di mana disokong oleh perniagaan tambahan Rentas Health daripada pengedaran dan penjualan PPE serta peralatan perubatan.

 

Sehubungan itu, AmInvest positif terhadap cadangan pengambilalihan kepentingan tersebut, tambah Yap. 

 

“Dalam pada itu, berdasarkan ramalan kami, susulan pengambilalihan berkenaan, kedudukan tunai bersih Pecca akan merosot kepada RM18.5 juta daripada RM68.5 juta setakat 31 Mac 2021. Ini diterjemahkan kepada kira-kira RM0.10 sesaham,” jelas Yap. 

 

AmInvest mengekalkan penarafan ‘underweight’ ke atas Pecca dengan nilai wajaran pada kadar RM1.99 sesaham. - DagangNews.com