Pejuang tolak sekeras-kerasnya ratifikasi CPTPP | DagangNews Skip to main content

Pejuang tolak sekeras-kerasnya ratifikasi CPTPP


KUALA LUMPUR 29 Okt – Parti Pejuang Tanahair menolak sekeras-kerasnya ratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif Bagi Kerjasana Trans Pasifik (CPTPP) kerana tidak menguntungkan seluruh industri Mikro, Kecil, sederhana dan akan menjadi liabiliti kepada negara.

 

Pejuang menyeru semua dewan-dewan perniagaan dan parti-parti politik untuk sama-sama menggesa Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri supaya tidak meratifikasikan perjanjian CPTPP kerana ia tidak mendatangkan faedah dan hanya beberapa syarikat gergasi sahaja yang akan mendapat manfaat.

 

Ratifikasi ini juga ditolak oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, Pengerusi Pejuang semasa beliau menjadi Perdana Menteri dibawah kerajaan Pakatan Harapan.

 

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohd Azmin Ali telah menetapkan bulan Oktober 2021 untuk memberi keputusan berkenaan dengan ratifikasi perjanjian CPTPP.

 

Ahli Majlis Eksekutif Pusat yang juga Pengerusi Biro Ekonomi Pusat Pejuang, Armin Baniaz Pahamin berkata, setelah mengkaji dan mengadakan berbagai sesi libat urus bersama pakar-pakar ekonomi dan dewan-dewan perniagaan, pihaknya mendapati terma dan syarat perjanjian CPTPP bertentangan dengan perlembagaan, undang-undang dan hala tuju negara.

 

``CPTPP juga akan menjadi satu liabiliti kepada negara pada masa hadapan dengan membolehkan syarikat swasta negara asing untuk menyaman kerajaan Malaysia berbilion ringgit di atas pelbagai sebab walaupun ia bertentangan dengan dasar-dasar, akta-akta dan perlembagaan negara,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Pejuang kata beliau, merujuk kepada kenyataan rasmi Sekretariat Gabung yang dikeluarkan pada 21 Oktober 2021 dan menyokong penuh semua faktor-faktor penolakan CPTPP oleh Pertubuhan Gabungan Melayu.

 

‘’Kami menolak CPTPP berdasarkan 3 faktor utama. Faktor pertama merupakan dasar senarai negatif perjanjian CPTPP yang meliberalisasikan semua sektor termasuk liberalisasi perolehan kerajaan dan hanya tidak meliberalisasikan sektor yang dimasukkan secara rasmi dengan bertulis dalam senarai negatif mengikut perjanjian.

 

‘’Adalah mustahil untuk sesebuah kerajaan menyenarai dengan penuh dan lengkap semua sektor-sektor yang perlu dikecualikan dan tanpa senarai yang lengkap, ia boleh meninggalkan impak kerugian yang besar kepada industri khususnya industri mikro, kecil dan sederhana.

 

‘’Faktor kedua dari segi pasaran tambahan yang disediakan oleh negara-negara CPTPP. Faedah dari 3 negara sebagai pasaran tambahan tidak memadai dengan kos yang teramat besar bagi negara. Apabila kita meratifikasikan perjanjian CPTPP, kita mempunyai akses eksport tambahan hanya kepada Kanada, Mexico dan Peru.

 

‘’ Malaysia telah mempunyai hubungan perdagangan bebas dengan negara-negara CPTPP lain. Malah hubungan perdagangan bebas itu masih belum di manfaatkan dengan sepenuhnya oleh usahawan-usahawan Malaysia. Hanya beberapa syarikat besar sahaja yang akan mendapat manfaat dari 3 pasaran tambahan ini.


 

Armin Baniaz Pahamin
Armin Baniaz Pahamin

 

 

‘’Faktor ketiga ialah dari segi ‘kos’. Kos meratifikasikan perjanjian CPTPP tidak terhad dan termasuk kerugian yang bakal dialami oleh syarikat-syarikat tempatan yang sekarang ini menikmati hampir 100% perolehan dari kerajaan persekutuan dan GLC.

 

‘’Tetapi dengan meratifikasi perjanjian CPTPP ianya dihadkan hanya kepada 40% untuk diagih kepada syarikat bumiputera, SME dan syarikat berlokasi di Sabah & Sarawak,’’ katanya.

 

Armin Baniaz berkata, mengehadkan 40% ini juga termasuk perolehan oleh Petronas yang sebelum ini mengamalkan 70% perolehan kepada syarikat bumiputera dan tiada sekatan untuk mengamalkan 100% perolehan untuk syarikat tempatan.

 

Katanya, kos yang perlu diambil kira juga termasuk risiko kerajaan disaman berbilion ringgit seperti tertakluk dalam peraturan ISDS. Kerajaan boleh disaman tanpa had di bawah peraturan ISDS.

 

‘’Kenapakah kita ingin membenarkan kerajaan kita disaman oleh syarikat asing dan diikat pergerakan kita tanpa mampu bergerak dan mampu memperkenalkan atau mengubah dasar negara demi kepentingan rakyat?

 

‘’Sebagai contoh. Pakistan terpaksa berhutang untuk membayar saman sebanyak AS$5.9 bil (2019) kepada sebuah syarikat perlombongan Australia setelah disaman kerana melanggar peraturan ISDN.

 

‘’Mesir telah disaman kerana melaksanakan peraturan gaji minimum pada tahun 2012. Afrika Selatan pula terpaksa menarik- balik sesetengah tindakannya dibawah dasar penyusunan semula stuktur ekonomi Black Economic Empowerment setelah disaman,’’ ujarnya. – DagangNews.com