Pelabur asing beli RM172.4 juta ekuiti tempatan bagi minggu ketiga berturut-turut, kata MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing beli RM172.4 juta ekuiti tempatan bagi minggu ketiga berturut-turut, kata MIDF Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 20 Nov - Pelabur asing mengekalkan kedudukan sebagai pembeli bersih saham Bursa Malaysia untuk minggu ketiga berturut-turut, berjumlah RM172.4 juta minggu lalu, di mana pasaran ditutup pada Isnin sempena sambutan Deepavali.

 

MIDF Research berkata aliran masuk pada minggu lalu menunjukkan kadar sederhana yang ketara berbanding RM676.7 juta minggu sebelumnya.

 

Menurut firma penyelidikan itu, Rabu mencatatkan aliran masuk pelabur asing tertinggi sebanyak RM191.9 juta, dengan saham yang merekodkan belian bersih tertinggi terdiri daripada Genting (RM23.9 juta), PPB Group (RM19.7 juta) dan YTL Power (RM14.9 juta).

 

Khamis juga turut menyaksikan aliran masuk berjumlah RM43.7 juta dan sebaliknya pada Jumaat, pelabur asing mencatat aliran keluar sebanyak RM58.2 juta.

 

“Tiga sektor teratas dengan aliran masuk pelabur asing tertinggi ialah utiliti (RM115.2 juta), penjagaan kesihatan (RM63.5 juta), serta pengangkutan dan logistik (RM51.9 juta).

 

“Manakala tiga sektor teratas dengan aliran keluar tertinggi mereka ialah produk perindustrian dan perkhidmatan (RM41.6 juta), produk dan perkhidmatan pengguna (RM31 juta) dan Teknologi (RM30.8 juta),” kata firma itu dalam note penyelidikan hari ini.

 

Sementara itu, pelabur institusi tempatan mencatatkan jualan bersih sebanyak RM95.6 juta minggu lepas, menandakan jualan bersih minggu ketiga berturut-turut.

 

Setiap hari dagangan dalam minggu itu menyaksikan jualan bersih, kecuali pada Jumaat apabila Bank Negara Malaysia (BNM) melaporkan bahawa KDNK Malaysia meningkat 3.3% tahun ke tahun pada suku ketiga tahun ini.

 

Pelabur runcit tempatan turut meneruskan rentetan jualan bersih mereka untuk minggu keenam berturut-turut berjumlah RM76.8 juta minggu lalu.

 

Firma penyelidikan itu menambah bahawa hanya Selasa dan Jumaat mencatatkan aliran masuk, masing-masing sebanyak RM22.8 juta dan RM3.2 juta.

 

“Dari segi pergerakan pelabur, terdapat peningkatan purata nilai dagangan harian (ADTV) dalam kalangan pelabur runcit tempatan sebanyak 3.6% dan pelabur asing sebanyak 3.3%, tetapi pelabur institusi tempatan menurun 7.4%,” katanya.  - DagangNews.com