Pelabur asing jual saham Malaysia setiap hari - MIDF | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing jual saham Malaysia setiap hari - MIDF

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 17 Mei - Malaysia menyaksikan pelabur asing menjual bersih ekuiti tempatan setiap hari, pada minggu lalu sehingga membawa nilai aliran keluar berjumlah -RM108.14 juta. 

 

Sebaik pasaran dibuka pada Isnin lalu, kata MIDF Research, pelabur asing melupuskan -RM37 juta ekuiti tempatan dengan pelabur runcit dan institusi tempatan pula merupakan pembeli bersih, masing-masing berjumlah RM10.97 juta dan RM26.03 juta.

 

Menurut firma penyelidikan itu lagi, aliran asing terbesar dicatatkan pada Selasa lalu, -RM67.81 juta dan terendah pada Rabu, -RM3.33 juta. 

 

“Tiada langsung aliran masuk asing dicatatkan pada minggu lalu. 

 

“Sejak awal 2021, secara terkumpul, pelabur runcit menjadi satu-satunya pembeli bersih pasaran ekuiti kita pada nilai RM6.25 bilion. 

 

“Pelabur institusi tempatan dan asing pula merupakan penjual bersih, masing-masing berjumlah -RM2.94 bilion dan -RM3.31 bilion,” jelas MIDF dalam nota kajiannya hari ini.

 

Di sebalik prestasi positif oleh pelabur runcit, namun mereka pertama kalinya beralih menjadi penjual bersih pada tahun ini. 

 

CGS-CIMB Research menjangkakan ini mungkin didorong oleh kebimbangan terhadap pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

 

Jelas firma penyelidikan itu, mereka merupakan penjual bersih dalam sektor perindustrian dan penjagaan kesihatan.

 

“Mereka menjual bersih RM64.3 juta ekuiti pada minggu lalu, berbanding aliran masuk bersih berjumlah RM328 juta pada minggu sebelumnya,” tambah CGS-CIMB.

 

Sejak awal tahun hingga setakat ini, pelabur runcit membeli bersih ekuiti dalam sektor perkhidmatan kewangan berjumlah RM2.2 bilion dan utiliti, RM1.1 bilion. - DagangNews.com