Pelabur asing kembali beli RM267.7 juta ekuiti Malaysia selepas dua minggu menjual – MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Pelabur asing kembali beli RM267.7 juta ekuiti Malaysia selepas dua minggu menjual – MIDF Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR  28 Jan - Pelabur asing kembali membeli bersih RM267.7 juta ekuiti Malaysia pada minggu lalu selepas dua minggu menjualnya, kata MIDF Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata ia merupakan minggu dagangan yang pendek bersempena cuti Thaipusam pada Khamis, yang mana pelabur asing hanya mencatat aliran keluar sejumlah RM66.6 juta ekuiti pada Selasa namun membeli bersih pada hari-hari lain.

 

“Seperti yang dijangkakan, Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) dalam Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) pertamanya bagi 2024 pada 3%.

 

“Kami menjangkakan bank pusat itu mengekalkan status quo pendirian dasar monetarinya sepanjang 2024 untuk memastikan momentum pertumbuhan ekonomi Malaysia yang mampan,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut MIDF Research, tiga sektor teratas dengan aliran masuk asing tertinggi adaalah perkhidmatan kewangan (RM112.2 juta), utiliti (RM97.3 juta) dan hartanah (RM86.6 juta).

 

Tiga sektor teratas dengan aliran keluar asing tertinggi pula adalah produk pengguna dan perkhidmatan (RM39.6 juta), produk dan perkhidmatan perindustrian (RM38 juta), serta penjagaan kesihatan (RM21.2 juta).

 

Bagi pelabur institusi tempatan pula, mereka bertukar menjadi penjual bersih untuk minggu ini, selepas melupuskan ekuiti bernilai RM167.1 juta.

 

Mereka hanya membeli bersih RM21 juta pada Selasa tetapi menjadi penjual bersih pada hari-hari lain.

 

Sementara itu, pelabur runcit tempatan masih mencatat aliran keluar bagi minggu keempat berturut-turut dengan menjual bersih RM100.6 juta pada minggu lepas.

 

Seperti pelabur institusi tempatan, mereka hanya membeli bersih pada Selasa sebanyak RM45.6 juta tetapi menjual bersih untuk hari-hari lainnya.

 

“Dari segi pergerakan pelabur, terdapat peningkatan purata nilai dagangan harian (ADTV) dalam kalangan pelabur institusi tempatan dan pelabur asing masing-masing sebanyak 3.3% dan 2.5%, manakala ADTV pelabur runcit tempatan menurun 14.6%,” katanya.  - DagangNews.com