KUALA LUMPUR 28 Feb - Pelabur asing dan runcit merupakan pembeli bersih ekuiti tempatan sepanjang minggu lalu yang merekodkan aliran masuk berjumlah RM867.7 juta.
Kemasukan dana ini didorong oleh sokongan kepada pemain sektor komoditi, perladangan dan tenaga, menurut laporan aliran dana mingguan MIDF Research.
Bagi minggu berakhir 25 Februari itu, ia mendapati aliran masuk daripada pelabur asing berjumlah RM675.7 juta.
"Pelabur asing terus membeli ekuiti tempatan setiap hari sejak 11 Februari, 2 minggu lalu. "Aliran masuk paling tinggi direkodkan pada Jumaat berjumlah RM266 juta manakala paling rendah pada Isnin, hanya RM41.83 juta," katanya dalam laporan itu hari ini.
Bagi pelabur institusi tempatan pula, firma itu mendapati, mereka aktif menjual ekuiti tempatan dengan aliran bersih paling tinggi direkodkan pada Selasa sebanyak RM255.2 juta manakala paling rendah pada Khamis, RM54.9 juta.
Pelabur runcit turut menjual ekuiti setiap hari minggu lalu kecuali Isnin (RM129 juta) dan Selasa (RM126.3 juta).
"Penjualan bersih ekuiti paling tinggi direkodkan pada Jumaat sebanyak RM35.3 juta manakala paling rendah pada Rabu berjumlah RM3.53 juta," katanya.
Secara keseluruhan, MIDF Research berkata, bagi minggu kelapan ini, pelabur asing membeli RM675.7 juta ekuiti diikuti pelabur runcit sebanyak RM192 juta.
Bagaimanapun, pelabur institusi tempatan masih merupakan penjual bersih ekuiti berjumlah RM867.7 juta.
"Dari segi sektor yang mencatatkan aliran masuk daripada pelabur asing, adalah kewangan, perladangan dan produk perindustrian dan perkhidmatan dengan masing-masing berjumlah RM374.3 juta, RM247.6 juta dan RM119.2 juta," tambahnya.
Setakat tahun ini, firma itu mendapati aliran masuk daripada pelabur asing berjumlah RM2.7 bilion manakala pelabur runcit, RM600 juta.
Sebaliknya, pelabur institusi tempatan merupakan satu-satunya penjual bersih ekuiti berjumlah RM2.8 bilion.
Bagi minggu berakhir 25 Februari itu, FBM KLCI susut 0.71% untuk berakhir pada 1,591.72 mata manakala ringgit susut 0.39% berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) untuk ditutup pada RM4.2023, Jumaat lalu. - DagangNews.com