KUALA LUMPUR 29 Ogos - Aliran masuk dana asing dalam pasaran tempatan berterusan buat minggu keenam berturut-turut walaupun lebih rendah sebanyak RM244.6 juta berbanding minggu sebelumnya, RM615.5 juta.
Laporan aliran dana mingguan MIDF Research menunjukkan pelabur asing hanya menjual ekuiti pada Rabu sebanyak RM90.5 juta pada minggu lalu.
Tiga sektor yang mencatatkan paling banyak aliran masuk asing ialah perkhidmatan kewangan, telekomunikasi dan utiliti masing-masing berjumlah RM333.7 juta, RM49.5 juta dan RM39.9 juta.
"Sebaliknya, tiga sektor yang menyaksikan aliran keluar ialah teknologi, penjagaan kesihatan dan produk perindustrian dan perkhidmatan masing-masing sebanyak RM87.8 juta, RM73.1 juta dan RM25.3 juta," katanya dalam laporan itu hari ini.
Bagi pelabur institusi tempatan pula, firma itu mendapati, ia masih menjual ekuiti buat minggu ketujuh berturut-turut berjumlah RM286.2 juta.
Mereka telah menjual ekuiti tempatan sepanjang hari dagangan sejak 3 Ogos sebelum kembali membeli ekuiti pada Rabu sebanyak RM24.3 juta.
"Pelabur institusi tempatan kembali menjual ekuiti pada Khamis dan Jumaat masing-masing sebanyak RM114.3 juta dan RM63.5 juta diikuti Isnin (RM92.4 juta) dan Selasa (RM40.4 juta)," katanya.
Pelabur runcit sebaliknya mengekalkan rentak pembelian mereka pada minggu lalu dengan mencatat aliran masuk sebanyak RM41.7 juta.
MIDF Research berkata, setakat ini dana antarabangsa sudah membeli ekuiti selama 23 daripada 34 minggu yang menyaksikan aliran masuk berjumlah RM7.97 bilion.
Menurutnya, pelabur institusi tempatan menjual ekuiti selama 27 minggu dengan aliran keluar kini berjumlah RM9.76 bilion manakala pelabur runcit membeli ekuiti selama 22 minggu berjumlah RM1.8 bilion.
Dari segi pergerakan pelabur, terdapat penurunan nilai purata dagangan harian (ADTV) dalam semua kategori pelabur dengan penyertaan pelabur institusi tempatan susut 8.9% diikuti pelabur runcit (-2.97%) dan pelabur asing (-0.9%). -DagangNews.com