Pelabur institusi tempatan sudah 'lupus' RM8 bilion ekuiti di Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Pelabur institusi tempatan sudah 'lupus' RM8 bilion ekuiti di Bursa Malaysia

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 5 Mei - Pelabur asing terus membeli ekuiti tempatan yang menyaksikan aliran masuk sebanyak RM131.2 juta bagi minggu berakhir 30 April 2022.

 

Bagaimanapun, jumlah itu adalah lebih rendah berbanding minggu sebelumnya sebanyak RM247.62 juta.

 

Laporan aliran dana mingguan MIDF Research menunjukkan dana antarabangsa masih menjadi pembeli ekuiti tempatan selama 14 minggu daripada 17 minggu setakat tahun ini, dengan mencatat aliran masuk sebanyak RM7.3 bilion. 

 

"Mereka menjadi pembeli bersih sepanjang minggu kecuali Isnin dengan aliran keluar sebanyak RM44.3 juta. 

 

"Aktiviti belian bersih terutamanya berlaku pada Selasa dan Khamis dengan aliran masuk masing-masing sebanyak RM71.6 juta dan RM70.7 juta," katanya dalam laporan itu hari ini.

 

Sepanjang minggu lalu, ia menyaksikan pelabur runcit masih mengekalkan pembelian ekuiti berjumlah RM58.8 juta manakala pelabur institusi tempatan pula sebaliknya menjual ekuiti sebanyak RM190 juta.

 

Menurut firma itu, pelabur institusi tempatan hanya membeli ekuiti pada Jumaat lalu berjumlah RM22.3 juta. 

 

"Didapati mereka masih menjadi penjual bersih ekuiti selama 12 minggu berturut-turut sejak minggu berakhir 11 Februari.

 

"Malah, pelabur institusi tempatan sudah menjual ekuiti selama 15 minggu daripada 17 minggu setakat tahun ini, yang menyaksikan RM8 bilion ekuiti tempatan sudah dijual di Bursa Malaysia," katanya. 

 

Bagaimanapun, pergerakan pelabur runcit pada minggu lalu adalah bercampur-campur dengan 3 hari mencatat pembelian bersih dari Isnin hingga Rabu. 

 

"Tetapi, mereka kemudiannya menjual ekuiti pada Khamis dan seterusnya. Setakat tahun ini, pelabur runcit telah membeli ekuiti tempatan sebanyak RM672.7 juta," tambahnya.

 

Dari segi penyertaan, pelabur asing menyaksikan kenaikan nilai purata dagangan harian (ADTV) sebanyak 5.5% diikuti pelabur institusi dan runcit masing-masing pada 3.62% dan 2.26%. - DagangNews.com