Pelaburan awal RM1.3 bilion F&N dalam ladang tenusu dijangka jejas margin operasi, kata CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

Pelaburan awal RM1.3 bilion F&N dalam ladang tenusu dijangka jejas margin operasi, kata CGS-CIMB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 23 Nov - Pelaburan besar Fraser & Neave Holdings Berhad (F&N) ke dalam perniagaan ladang tenusu bermula dengan RM1.3 bilion di bawah fasa satu dijangka menjejaskan margin keuntungan operasi.

 

CGS-CIMB Research berkata, F&N memberi tumpuan kepada peningkatan jumlah dan sanggup mengorbankan satu hingga dua mata peratusan dalam margin operasi dengan melabur dalam ladang tenusu.

 

Pada suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23), margin operasi F&N mencecah 21%.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pelaburan ladang tenusu F&N adalah "risiko yang dikira" ke arah menyokong pertumbuhan pendapatan dan keuntungan jangka panjang.

 

Apabila fasa satu ladang tenusu siap, F&N akan dapat menghasilkan 100 juta liter susu setiap tahun daripada 10,000 ekor lembu.

 

ladang

 

Perahan susu pertama dijangka pada awal 2025, dengan kumpulan permulaan 2,000 lembu mampu menghasilkan kira-kira 20 juta liter setahun.

 

“Dengan mengandaikan kapasiti penuh dicapai pada tahun kewangan 2028 (FY28), dan harga runcit RM8 seliter, kami menganggarkan perniagaan tenusunya akan mempunyai potensi hasil RM800 juta, bersamaan dengan 16% daripada hasil FY23,” katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pengurusan F&N sedar tentang risiko yang terlibat dalam perniagaan tenusu dan bergantung kepada pasukan perunding bagi mengurangkan risiko itu.

 

“Dengan makanan untuk lembu, iaitu jagung, ditanam di ladang, kumpulan berharap dapat mengekalkan kos yang rendah.

 

"Ia bertujuan menggunakan penawaran susu yang lebih 'segar' (berbanding dengan susu terlarut, yang masih menguasai pasaran tenusu Malaysia) bagi mewujudkan kedudukan yang lebih premium dalam pasaran susu tempatan," katanya.

 

CGS-CIMB Research berkata, pengurusan menyatakan bahawa terdapat pemulihan dalam permintaan pengguna sejak kebelakangan ini, walaupun terdapat laporan media mengenai sentimen pengguna yang lemah.

 

“Kami percaya langkah-langkah yang diumumkan semasa Belanjawan 2024 pada 13 Oktober lalu akan menyokong permintaan pengguna hingga 2024.

 

“Oleh itu, kami menganggarkan peningkatan 5.5% tahun ke tahun dalam hasil FY24 untuk perniagaan Malaysianya,” katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan panggilan 'tambah' dengan harga sasaran (TP) RM31.70 sesaham.- DagangNews.com