Pelaburan RM26 bilion oleh MMC membolehkan Pelabuhan Tanjung Pelepas terus pacu sektor pelabuhan Malaysia | DagangNews Skip to main content

Pelaburan RM26 bilion oleh MMC membolehkan Pelabuhan Tanjung Pelepas terus pacu sektor pelabuhan Malaysia

Anwar Ibrahim menghadiri Majlis Beramah Mesra bersama warga kerja Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Kumpulan MMC di Gelang Patah semalam. Turut hadir Onn Hafiz Ghazi, Anthony Loke, Syed Mokhtar Al-Bukhary dan Che Khalib Mohamad Noh.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 12 Jan - Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn Bhd (PTP) dijangka terus memacu perkembangan sektor logistik dan pelabuhan di Malaysia sejajar dengan pelaburan kira-kira RM26 bilion oleh Kumpulan MMC untuk membina pelbagai pembangunan di Kawasan Sungai Pulai, Johor.

 

Menerusi pelaburan dalam tempoh lima tahun akan datang, pembangunan yang dirancang itu juga akan berupaya menjana lebih dari 23,000 peluang pekerjaan di kawasan tersebut.

 

Selain daripada itu, Kumpulan MMC juga akan membangunkan sebuah Green Fuel Terminal untuk pembekalan metanol bagi industri perkapalan.

 

Pengerusi PTP dan Pengarah Urusan Kumpulan MMC, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata, PTP bukan saja mempunyai kemudahan pelabuhan bertaraf dunia, namun turut menjadi titik rujukan bagi industri maritim serantau dan dalam pelbagai bidang lain.

 

Katanya, ini seperti kelestarian, pendigitalan melalui pemangkinan Internet of Things (IoT), inisiatif pemerkasaan tenaga kerja wanita serta penyediaan latihan vokasional dan teknikal industri.

 

“PTP merupakan hub transshipment kontena paling sibuk di Malaysia, meliputi 768.9 hektar terminal dan 647.5 hektar kawasan zon bebas yang menyediakan perkhidmatan kepada syarikat-syarikat perkapalan utama dan pengendali kontena, menyediakan pengiriman di Malaysia dan luar negara yang luas ke pasaran global,” katanya.

 

ptp1

 

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadiri Majlis Beramah Mesra bersama warga kerja Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Kumpulan MMC di Gelang Patah. Majlis itu turut dihadiri Pengerusi Yayasan Albukhary, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary dan Pengerusi PTP yang juga Pengarah Urusan Kumpulan MMC, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh.

 

Turut serta Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.

 

Anwar dalam ucapannya pada majlis itu percaya, Kumpulan MMC dan PTP mampu untuk kekal berdaya saing dan terus memberi impak yang besar kepada ekonomi Malaysia, khususnya bagi negeri Johor.

 

"Saya percaya kejayaan membanggakan ini lahir daripada perancangan yang baik serta pengurusan yang mantap dan cekap.

 

"Lebih daripada itu, PTP tidak mungkin mencapai ke tingkat yang kita saksikan hari ni tanpa komitmen, disiplin dan semangat yang ditunjukkan seluruh tenaga penggerak di PTP," kata Perdana Menteri dalam Facebook beliau.

 

ptp2

 

Sementara itu, MMC dalam kenyataan itu juga berkata, pembangunan sebuah Green Fuel Terminal untuk pembekalan metanol bagi industri perkapalan merupakan inisiatif Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan aspirasi Malaysia ke arah sifar karbon, pembangunan tenaga hijau dan menjamin kelestarian alam sekitar.

 

Pelaburan oleh Kumpulan MMC ini turut merangkumi RM10 bilion dalam tempoh lima tahun akan datang untuk pembangunan terminal PTP Fasa 3A dan juga menaik taraf terminal PTP sedia ada yang meliputi bidang automasi, pendigitalan dan pemerkasaan sumber manusia di pelabuhan tersebut.