Pelajar KMB UPM anjur program rawatan kesihatan percuma bantu Orang Asli Bukit Bangkong | DagangNews Skip to main content

Pelajar KMB UPM anjur program rawatan kesihatan percuma bantu Orang Asli Bukit Bangkong

Pemeriksaan gigi secara percuma diadakan pada program KMB Bonding di perkampungan Orang Asli Bukit Bangkong, Sungai Pelek, Sepang baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 23 Mac - Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Seketariat Kesukarelawanan dan Mobiliti, Majlis Perwakilan Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee (KMB) mengambil inisiatif untuk menganjurkan program yang berteraskan khidmat komuniti dan kemasyarakatan iaitu KMB Bonding di perkampungan Orang Asli Bukit Bangkong, Sungai Pelek, Sepang.

 

Program tersebut bertujuan memberi pendedahan dan pembelajaran secara terus kepada penduduk Orang Asli mengenai kepentingan mengutamakan kesihatan mereka.

 

Pengarah program, Ahmad Syahrir Haqqimi Ismail berkata, program itu memberi rawatan kesihatan secara percuma antaranya, pemeriksaan Body Mass Index (BMI), pemeriksaan gigi dan pemeriksaan aras glukosa dalam badan.

 

Katanya, program ini dapat menjalinkan hubungan baik sesama masyarakat khususnya kepada pelajar UPM dalam mengaplikasikan kemahiran berkomuniti yang sebenar selari dengan tema program, 'mahasiswa prihatin masyarakat terjamin'. 

 

"Saya percaya program ini sangat berpotensi untuk menjayakan hasrat UPM untuk melahirkan mahasiswa yang bukan hanya bersaing untuk memburu kecemerlangan akademik bahkan mampu juga melahirkan graduan prihatin kepada masyarakat sekitar," katanya dalam kenyataan.

 

Program bersama masyarakat di perkampungan tersebut dianjurkan bersama 30 sukarelawan dan 44 ahli jawatankuasa pelaksana, baru-baru ini.

 

Sementara itu, Tok Batin, Batin Ramun Shari berkata, program seperti ini amat dialu-alukan oleh semua penduduk di kampung demi menjamin taraf kesihatan penduduk Orang Asli di sini.

 

"Ini kerana kawasan kampung ini terletak jauh di pendalaman dan sukar untuk mendapatkan rawatan atau nasihat kesihatan dari pusat rawatan kesihatan terdekat. 

 

Katanya, beliau berharap program seperti ini dapat dijalankan lagi pada masa akan datang. - DagangNews.com