Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 16 Jun - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyambut baik strategi Pelan Pemulihan Negara yang dibentangkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pelan yang merangkumi empat fasa itu pastinya dapat meningkatkan kembali ekosistem perdagangan domestik.
Menurutnya, pertumbuhan ekonomi domestik itu terutamanya kepada peniaga peruncitan, pemborong dan pengedaran di mana aktiviti ekonomi akan dibuka secara berperingkat dan berfokus.
"KPDNHEP juga telah memulakan program vaksinasi untuk barisan hadapan ekonomi dengan kerjasama Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID19 (CITF) setelah beberapa libat-urus telah dilaksanakan bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan pemain industri sektor perdagangan dan pengedaran.
"Ini adalah penting sebagai persiapan pembukaan ekonomi yang akan dilaksanakan," jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, kesemua pemain industri memberi sokongan penuh dan bersetuju untuk mengikuti progam vaksinasi yang kini berada di peringkat pendaftaran.
Data tersebut akan diserahkan kepada CITF untuk merangka pelan pelaksanaan termasuk keperluan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan logistik.
Mengulas berkaitan peningkatan sasaran suntikan harian kepada 300,000 dos vaksin sehari, beliau memberitahu, perkara tersebut akan memberi dampak yang lebih positif, mempercepatkan pencapaian imuniti kelompok (herd immunity) dan membuka lebih banyak sektor ekonomi dalam keadaan selamat.
Katanya lagi, perkara tersebut juga boleh dicapai dengan penyertaan swasta termasuk komuniti perniagaan.
"Dijangka sektor ini akan mencapai tahap imuniti kelompok sekitar September 2021.
"Kementerian telah merancang beberapa aktiviti ekonomi bermula dari jangka masa tersebut terutama Kempen Beli Barangan Malaysia, Program Jualan Malaysia, Program Francais Domestik sama ada di peringkat kebangsaan mahupun negeri," ujar beliau. - DagangNews.com