Pelan pemulihan, penstrukturan punca TH lambat bentang laporan kewangan 2018 | DagangNews Skip to main content

Pelan pemulihan, penstrukturan punca TH lambat bentang laporan kewangan 2018

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Kelewatan pembentangan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Lembaga Tabung Haji (TH) bagi Tahun 2018 adalah berikutan Pelan Pemulihan dan Penstrukturan TH yang dilaksanakan oleh kerajaan terdahulu.

TH dalam satu kenyataan hari ini memberitahu, pelan itu merupakan suatu perkara yang kompleks dan tidak pernah dilakukan sebelum ini serta proses pengauditan oleh Jabatan Audit Negara (JAN) telah memakan masa yang agak lama sehingga menyebabkan kelewatan untuk pembentangan laporan tersebut.

“Sijil Audit Bersih dari Ketua Audit Negara hanya dikeluarkan pada 21 November 2019. 

“Pada masa yang sama, TH perlu melalui proses biasa dan mendapatkan ulasan dari agensi kerajaan yang berkaitan di mana ulasan-ulasan ini telah diperoleh pada 19 Disember 2019 dan diserahkan kepada Menteri Hal Ehwal Agama di Jabatan Perdana Menteri pada ketika itu untuk dibentangkan di Mesyuarat Jemaah Menteri, seterusnya di Parlimen setelah mendapat persetujuan Jemaah Menteri. 

“Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan TH bagi Tahun 2018 (Telah Diaudit) tidak dapat dibentangkan pada tahun 2019 berikutan Sidang Parlimen telah berakhir pada 19 Disember 2019,” jelas TH.

Bagaimanapun, TH telah membentangkan laporan berkenaan di Parlimen pada hari ini. 

Jelasnya, perancangan asal adalah untuk membentangkan laporan tersebut semasa sidang Parlimen pada bulan Mac 2020. 

“Walau bagaimanapun, ia juga tidak dapat dilakukan kerana perubahan kerajaan dan penangguhan sidang Dewan Rakyat semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Oleh itu, laporan ini hanya dapat dibentangkan di Parlimen setelah diluluskan oleh Mesyuarat Jemaah Menteri untuk dibentangkan pada 14 Ogos yang lalu.

“Bagi Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan TH tahun 2019, proses pengauditan masih lagi berjalan. Laporan tersebut akan dibentangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri setelah pengauditan selesai sebelum dikemukakan ke Parlimen,” tambah TH. - DagangNews.com