Pelan rasionalisasi subsidi kerajaan, CGS-CIMB jangka berlaku pelarasan tarif elektrik domestik | DagangNews Skip to main content

Pelan rasionalisasi subsidi kerajaan, CGS-CIMB jangka berlaku pelarasan tarif elektrik domestik

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 5 April - CGS-CIMB Research menjangkakan pelarasan tarif elektrik untuk pengguna domestik volum tinggi mungkin dalam perancangan dan ia dilihat sebagai sebahagian daripada pelan rasionalisasi subsidi kerajaan.

 

Firma itu berkata, pelarasan dalam tarif elektrik untuk syarikat besar bermula Januari 2023 menandakan langkah pertama dalam usaha kerajaan baharu untuk mengurangkan beban subsidinya.

 

Katanya, pelarasan tarif itu adalah drastik, dengan media melaporkan peningkatan purata sebanyak 40% dalam kos elektrik untuk perniagaan yang terjejas.

 

"Namun begitu, kami percaya pelarasan lanjut sedang dalam perancangan dengan kerajaan berkemungkinan menaikkan tarif untuk pengguna domestik volum tinggi yang kini secara kolektif menikmati subsidi lebih tinggi daripada pengguna volum rendah, walaupun mereka membentuk bahagian pengguna yang lebih kecil," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata,berdasarkan anggaran, 13.1% daripada subsidi untuk elektrik dinikmati oleh pengguna volum tinggi domestik, walaupun mereka hanya menyumbang 9% daripada jumlah pengguna, begitu juga, bukan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang membentuk hanya 4% daripada pengguna, menikmati sehingga 43.3% daripada subsidi yang ditawarkan sebelum pemotongan subsidi.

 

Katanya, pada Januari 2023, penarikan balik subsidi kerajaan yang ditawarkan kepada bukan PKS menyebabkan syarikat itu menyaksikan lonjakan besar-besaran dalam tarif elektrik kepada surcaj 20 sen/kWj daripada 3.7 sen/kWj.

 

"Menurut kerajaan, jumlah yang sepatutnya dikenakan ke atas pengguna domestik, berdasarkan kos input semasa, adalah surcaj 27.00 sen/kWj," katanya.

 

Firma itu berkata, harga input komoditi, seperti gas asli dan arang batu, meningkat dengan ketara pada separuh pertama 2021 selain konflik Ukraine-Rusia, mendorong kos penjanaan elektrik meningkat.

 

Bagaimanapun, peningkatan kos yang terhasil tidak dapat dilihat sepenuhnya dalam surcaj pelepasan kos tidak seimbang (ICPT) dengan kerajaan memikul beban tarif yang lebih tinggi melalui subsidi, terutamanya untuk pengguna domestik.

 

"Kami menganggarkan bil subsidi untuk kerajaan dalam menguruskan kenaikan harga ini kepada kira-kira RM6 bilion pada 2022 dan RM6.8 bilion pada 2023, memberi tekanan besar kepada kewangan fiskal negara," katanya.

 

Firma itu berkata, pelarasan penuh tarif domestik kepada kos input semasa akan meningkatkan pertumbuhan indeks harga pengguna (CPI) sebanyak 60bp pada 2023.

 

Katanya, andaian yang lebih realistik tentang pelarasan separa (hanya menyasarkan pengguna domestik volum tinggi) akan membawa kepada peningkatan pada pertumbuhan CPI 2023 sebanyak 20bp.

 

"Keadaan itu menunjukkan bahawa kerajaan mungkin mengambil pendekatan ini sebagai sebahagian daripada pelan rasionalisasi subsidinya," katanya. - DagangNews.com