Pelancaran model baharu, AmInvestment jangka sebahagian besar pendapatan FY25 Bermaz Auto dikekalkan | DagangNews Skip to main content

Pelancaran model baharu, AmInvestment jangka sebahagian besar pendapatan FY25 Bermaz Auto dikekalkan

Pelancaran model kereta baharu termasuk CX-60 dijangka membantu Bermaz mengekalkan sebahagian pendapatannya bagi FY25.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 22 Jan - AmInvestment Bank Research menjangkakan sebahagian besar pendapatan FY25 Bermaz Auto Berhad dapat dikekalkan menerusi pelancaran model kereta CX-60, Kia Caren dan Kia Sportage serba baharu.

 

Katanya, unjuran itu juga disokong tumpuan strategik kumpulan itu kepada model kereta yang menawarkan margin keuntungan lebih tinggi seperti Mazda CX-9, CX-8 dan CX-5.

 

Pengenalan lebih banyak model baharu ke pasaran Malaysia akan dipermudahkan oleh hubungan baik Bermaz Auto dengan rakannya dari Jepun.

 

Pada suku akan datang, disebabkan penghantara Mazda pemasangan tempatan (CKD) yang lebih tinggi, nisbah model itu dijangka meningkat kepada 85% dan 15% untuk import sepenuhnya (CBU).

 

"Kumpulan itu yakin bahawa sasaran jualan sebanyak 20,000 unit pada FY24 boleh dicapai dengan sumbangan utama daripada model Mazda CX-5 dan CX-30, membentuk lebih 55% hingga 60% jumlah jualan. Ia disokong oleh normalisasi rantaian bekalan pada tahun tersebut," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, AmInvestment dalam nota kajiannya sebelum ini berkata, Mazda masih belum mengumumkan pelancaran CX-60, tetapi baru-baru ini telah melancarkan versi 'facelift' 2024 untuk model Mazda CX-3 dan Mazda 2. Model CX-5 'facelift' akan dilancarkan pada penghujung Januari 2024, yang menjadi pemacu utama untuk Mazda.

 

Bagi Kia pula, ia berkata, model Sportage dan Caren serba baharu juga sedang dalam perancangan.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pengenalan cukai barangan bernilai tinggi pada kadar antara 5% hingga 10% bermula Mei 2024 dijangka memberi kesan kepada penawaran model kelas atasan berharga RM200,000 ke atas terutamanya Kia Carnival, Mazda CX-9 dan model CX-8 spesifikasi tinggi.

 

Bagaimanapun, katanya, kumpulan itu mendakwa bahawa kerajaan memberi bayangan untuk mengenakan cukai bagi model kereta berharga RM300,000 dan ke atas tetapi perkara itu masih belum dapat disahkan.

 

"Persatuan Automotif Malaysia (MAA) dijangka berhubung dengan kerajaan bagi pertimbangan lanjut mengenai cukai barangan bernilai tinggi memandangkan sektor automotif sudah dikenakan cukai yang tinggi," katanya.

 

Sementara itu, AmInvestment menjangkakan bekalan model Mazda dan Kia yang lebih tinggi dengan tempoh menunggu yang lebih singkat berikutan pembesaran kapasiti pengeluaran kilang Kulim Inokom daripada 30,000 unit kepada 50,000 unit. 

 

Katanya, keadaan itu akan menyokong momentum jualan pada masa hadapan Bermaz.

 

"Kumpulan itu juga berbincang dengan Kia bagi memperkenalkan lebih banyak model kenderaan mampu milik ke pasaran Malaysia.

 

"Pada masa ini, Karnival Kia dengan 11 tempat duduk adalah model terlaris, yang sedang dalam proses untuk beralih kepada CKD. Sebaliknya, harga model Sorento yang tinggi mengakibatkan penerimaan pengguna yang lemah dan jumlah jualan yang tidak stabil sejak beberapa bulan lalu," katanya. - DagangNews.com