Pelancaran model baharu dijangka rendah, AmInvestment Bank kekal 'neutral' sektor automotif | DagangNews Skip to main content

Pelancaran model baharu dijangka rendah, AmInvestment Bank kekal 'neutral' sektor automotif

Jumlah jualan kenderaan pada 2024 diunjur lebih rendah berbanding tahun lalu disebabkan beberapa faktor termasuk kekurangan pelancaran model baharu./ Gambar hiasan
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 12 Jan - AmInvestment Bank Research kekal 'neutral' terhadap sektor automotif berikutan prospek jualan lemah dengan pelancaran model baharu pada separuh pertama 2024 dijangka lebih rendah berbanding separuh kedua tahun lalu.

 

Menurut firma penyelidikan itu, pada separuh kedua tahun 2023, pelbagai model baharu yang menarik minat pengguna dilancar pada tempoh tersebut.

 

"Perodua dijangka melancarkan segmen B SUV - D6BB pada pertengahan 2024 manakala Perodua Bezza generasi baru pula hanya mungkin memasuki padaran pada separuh pertama 2025.

 

"Mazda pula belum mengumumkan tarikh pelancaran CX-60 yang baru, namun telah melancarkan baru-baru ini edisi facelift untuk CX-3 dan Mazda 2," kata Am Investment Bank.

 

Berikutan itu, AmInvestment Bank dalam kemas kini nota kajian yang dikeluarkan hari ini terus menjangkakan jumlah jualan keseluruhan industri kenderaan (TIV) tidak akan mampu menyamai jualan pada 2023.

 

Bagi tahun 2024, Am Investment Bank mengunjurkan jualan pada 670,000 buah berbanding unjuran untuk 2023 sebanyak 710,000 buah.

 

Dalam nota kajian itu, firma penyelidikan itu turut menggariskan beberapa faktor lagi yang mempengaruhi unjuran jualan kenderaan pada 2024 termasuk normalisasi jualan setelah berakhirnya pengecualian cukai jualan pada pertengahan 2022.

 

Selain itu, AmInvestment Bank turut membangkitkan mengenai kesan inflasi selepas pelaksanaan subsidi bersasar ke atas bahan bakar yang dijangkakan pada separuh kedua 2024.

 

Ini mungkin memberi kesan kepada pendapatan boleh guna pengguna sekali gus mengekang pertumbuhan, kata firma itu.- DagangNews.com