Pelancaran projek baharu perlahan, AmInvestment unjur pendapatan Lagenda Properties lebih rendah | DagangNews Skip to main content

Pelancaran projek baharu perlahan, AmInvestment unjur pendapatan Lagenda Properties lebih rendah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Nov - AmInvestment Bank Research mengunjurkan pendapatan Lagenda Properties Berhad bagi suku akan datang lebih rendah daripada jangkaan berdasarkan kepada pelancaran projek baharu yang lebih perlahan pada sembilan bulan pertama tahun kewangan 2023 (9MFY23).

 

Katanya, pelancaran projek baharu kumupulan bagi tempoh tersebut adalah bernilai RM600 juta, 23% lebih rendah dari tahun ke tahun dan hanya 40% daripada sasaran pelancaran bernilai RM1.5 bilion bagi FY23.

 

"Selepas mengambil kira kelemahan pelancaran projek baharu, kami tidak menolak kemungkinan Lagenda akan menunda pelancaran projek FY23 kepada FY24.

 

"Hasil Lagenda bagi 9MFY23 jatuh 6% disebabkan pengiktirafan hasil yang lebih rendah daripada projeknya yang baru dilancarkan di Teluk Intan dan Kedah. Bagaimanapun projek-projek ini masih dalam peringkat awal kemajuan pembinaan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2023, keuntungan bersih kumpulan susut kepada RM111.3 juta berbanding RM133.12 juta setahun sebelumnya, manakala hasil adalah RM595.23 juta berbanding RM632.02 juta pada tahun sebelumnya.

 

Untung bersih teras 9MFY23 Lagenda turun 15% disebabkan penurunan dalam sumbangan hasil daripada projek margin yang lebih tinggi di Bandar Baru Setia Awan Perdana (BBSAP) dan LTI.


Bahagian hasil yang diiktiraf daripada projek margin yang lebih tinggi ini turun kepada 47% dalam 9MFY23 daripada 62% dalam 9MFY22.

 

Firma penyelidikan itu percaya bahawa sebahagian besar tempahan projeknya akan ditukar kepada jualan kerana pembeli utama yang terdiri daripada penjawat awam biasanya mempunyai nisbah pertukaran jualan yang lebih tinggi sebanyak 90%.

 

Katanya, ada Oktober 2023, Lagenda melancarkan fasa pertama perbandarannya di Mersing, Johor, yang menampilkan sejumlah 360 unit rumah bertanah satu tingkat. 

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga wajar (FV) RM1.79 sesaham," katanya. - DagangNews.com