Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 17 Nov - Kepakaran yang dimiliki Elevate dilihat mampu membantu FGV Holdings menyelesaikan isu berhubung dakwaan penggunaan buruh paksa dengan lebih cepat, menurut MIDF Research.
Pada 30 September 2020, semua produk minyak sawit yang dikeluarkan FGV dan anak syarikat serta syarikat usaha sama dikenakan perintah pelepasan tahan (WRO) oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS).
Semalam, FGV mengumumkan pelantikan pelantikan Elevate sebagai firma audit bebas untuk melakukan penilaian operasi FGV terhadap 11 Petunjuk International Labour Organization (ILO) yang mana proses audit dijangka bermula bulan ini.
Penilaian tersebut adalah sebahagian daripada usaha FGV untuk mempetisyen pembatalan WRO oleh CBP.
Baca : FGV lantik Elevate sebagai firma audit bebas operasi sawit
Penganalisis MIDF Research, Shahira Rahim berkata, berdasarkan semakan yang dijalankannya, didapati Elevate berpangkalan di Hong Kong dan merupakan peneraju industri dalam perkhidmatan rantaian bekalan global dan kemampanan.
Selain itu, Elevate juga mereka bentuk, membina serta mengurus program berkaitan kemampanan dipacu data dengan penilaian, nasihat, pengurusan program dan analitik.
"Melihat kepada pengalaman yang dimiliki Elevate dan pandangan yang dipacu data, kami percaya ia mampu menjalankan penilaian terhadap 11 petunjuk ILO ini dengan efisien dan teliti.
"Kami juga melihat perkembangan ini adalah positif kerana kepakaran Elevate dapat membantu mempercepatkan proses audit, dan seterusnya membatalkan WRO yang dikenakan CBP," katanya dalam nota kajian hari ini.
Setakat ini, firma berkenaan tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran pendapatan FGV bagi tahun kewangan 2021, 2022 dan 2023.
Bagaimanapun, ia mengekalkan saranan 'beli' terhadap FGV dengan harga sasaran tidak berubah pada RM2.36.
Shahira berkata, harga minyak sawit mentah yang tinggi dan pengeluaran buah tandan segar yang sederhana akan terus menjana prestasi kewangan kumpulan yang lebih baik pada masa hadapan.
"Di samping itu, jangkaan harga purata jualan (ASP) yang lebih tinggi bagi gula bertapis dan peningkatan jumlah jualan dapat membantu MSM Malaysia Holdings Bhd. mencapai margin keuntungan yang lebih tinggi pada suku akan datang," tambahnya. - DagangNews.com