Pemandu dan pengusaha teksi terjejas terima pembiayaan TEKUN Nasional | DagangNews Skip to main content

Pemandu dan pengusaha teksi terjejas terima pembiayaan TEKUN Nasional

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 6 Okt. - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) melalui agensi TEKUN Nasional telah mengambil inisiatif untuk memberi pembiayaan kepada pemandu dan pengusaha teksi Airport Limo (M) Sdn. Bhd. yang terjejas ekoran daripada pandemik COVID -19.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pembiayaan yang diberikan kepada pemandu teksi itu meliputi keperluan untuk modal penyelenggaraan, pemasangan kenderaan gas asli (NGV), ubah suai, kit COVID-19 dan juga sebagai deposit atau bayaran pendahuluan untuk pembelian teksi.

Pada hari ini, beliau telah menyampaikan pembiayaan kepada 53 pemandu dan pengusaha teksi Airport Limo yang terjejas.

 

Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar
Wan Junaidi Tuanku Jaafar

 

“Pagi ini saya menghadiri Majlis Penyampaian Mock Cheque dan Flag Off Ahli Koperasi Pemandu dan Pengusaha Teksi Limosin dan Kereta Sewa Selangor Berhad (KOPETEKMA) di Kompleks Nasyrul Quran, Putrajaya.

“Seramai 53 orang pemandu dan pengusaha teksi Airport Limo di bawah Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi dan Limosin dan Kereta Sewa Malaysia ( PETEKMA ) telah menerima pembiayaan yang keseluruhannya berjumlah RM106,000,” katanya menerusi sebuah hantaran status di Facebook miliknya. 

Sehingga kini, TEKUN Nasional telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM36.09 juta kepada 4,526 orang pemandu dan pengusaha teksi di seluruh negara.

Sejak diwujudkan pada tahun 1998 sehingga Ogos 2020, TEKUN Nasional telah menyalurkan pembiayaan kepada 465,622 orang usahawan dengan nilai RM6.19 bilion di seluruh negara. 

“Ini menunjukkan kerajaan melalui TEKUN Nasional sememangnya komited dalam membantu usahawan Bumiputera,” tambah beliau. - DagangNews.com