Pembangunan pusat data diunjur jadi pemacu jangka sederhana bagi sektor hartanah - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Pembangunan pusat data diunjur jadi pemacu jangka sederhana bagi sektor hartanah - Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Pembangunan pusat data (DC) diunjur menjadi pemacu jangka sederhana bagi sektor hartanah dan pada masa sama membantu mempercapatkan proses pengewangan nilai tanah.

 

Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, pemangkin jangka pendek bagi sektor itu kekal sama iaitu Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dengan butiran lanjut mengenainya akan diumumkan antara September dan Oktober 2024.

 

Katanya, Eco World Development Group Bhd baru-baru ini mengumumkan tonggak perniagaan baharunya, iaitu taman perindustrian berteknologi tinggi yang menyasarkan kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan, pembuatan berteknologi tinggi serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) 

 

"Mereka berkemungkinan akan menerima lebih banyak tawaran untuk tanah bagi pembangunan DC dalam jangka pendek.

 

"Pemaju dengan amalan korporat yang berterusan seperti penyenaraian hartanah pelaburan/perniagaan lain, seharusnya menerima pulangan faedah apabila pasaran pulih," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, sentimen ke atas saham hartanah mungkin kekal lemah dalam tempoh terdekat, bagaimanapun asas sektor kekal utuh dipacu oleh jualan hartanah yang berdaya tahan, terutamanya daripada segmen hartanah industri.

 

Katanya, sebagai tambahan kepada perniagaan hartanah tradisional, pendapatan akan datang juga akan didorong oleh penjualan tanah/pegangan (SP Setia Bhd, Sunway Bhd, UEM Sunrise Bhd).

 

"Penjualan tanah ini seharusnya mengukuhkan penggearan bersih pemaju pada suku tahun akan datang," katanya. 

 

Maybank IB menaik taraf sektor kepada 'positif' berbanding 'neutral' dengan mereka mengekalkan penarafan kepada pemaju di bawah liputan kami kecuali UEM Sunrise

 

Katanya, pilihan utamanya bagi penarafan 'beli' ialah ECO World, Sp Setia, Tambun Indah Land Bhd dan Sime Darby Property Bhd.

 

"Pelabur harus mengambil peluang untuk mengumpul saham hartanah yang disokong oleh asas dan tematik yang kukuh.

 

"Kejutan boleh datang daripada kebangkitan semula projek Kereta Api Laju (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, yang akan menyediakan peluang dagangan jangka pendek," katanya.- DagangNews.com