Pembelian 3 aset hartanah perindustrian sejajar dengan pelan kepelbagaian KIP REIT | DagangNews Skip to main content

Pembelian 3 aset hartanah perindustrian sejajar dengan pelan kepelbagaian KIP REIT

KIP Mall Senawang, Negeri Sembilan merupakan antara portfolio hartanah di bawah KIP REIT.
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 13 Julai - TA Research berpandangan neutral terhadap cadangan KIP Real Estate Investment Trust (KIP REIT) membeli tiga hartanah perindustrian memandangkan ia dijangka mencairkan pendapatan secara sederhana pada tahun-tahun awal pengambilalihannya.

 

Semalam, KIP REIT mengumumkan akan membeli 3 hartanah itu di Taman Perindustrian Pulau Indah, Pelabuhan Klang, Selangor pada harga RM78.7 juta.

 

Ia menyaksikan kumpulan memeterai perjanjian bersyarat dengan Hextar Chemicals Sdn Bhd, Hextar Industrial Chemicals Sdn Bhd dan Teju Logistics Sdn Bhd.

 

Nilai pasaran hartanah itu ialah RM78.9 juta, berdasarkan penilaian pada 20 Jun 2022 oleh Henry Butcher Malaysia (Selangor) Sdn Bhd.

 

Bagaimanapun, TA Research melihat kos pengambilalihan itu adalah wajar dan sejajar dengan strategi pelaburan baharu KIP REIT dalam rangkaian aset yang menghasilkan pendapatan, mempelbagaikan aliran hasilnya dan membina portfolio pelbagai sektor.

 

"Dengan hasil pengambilalihan sebanyak 6.5% semasa penggal pertama adalah setanding dengan kadar pasaran, ia nampaknya mencairkan hasil jika kita membandingkannya dengan hasil hartanahnya bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021 (FY21) sebanyak 7%.

 

"Tetapi, kenaikan sewa tetap sebanyak 13% setiap 3 tahun akan meningkatkan hasil hartanah bersih kepada 7.5%, 8.4% dan 9.4% pada tahun keempat, ketujuh dan ke-11," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Baca : KIP REIT beli tiga aset industri di Pulau Indah berharga RM78.7 juta

 

KIP REIT kini mempunyai portfolio tujuh hartanah, terdiri daripada enam Pusat Beli-belah KIP, terletak di Bangi, Tampoi, Kota Tinggi, Masai, Senawang, Melaka dan Aeon Mall Kinta City di Ipoh.

 

Ia mempunyai jumlah keluasan bersih boleh disewakan melebihi 1,478,000 kaki persegi dan jumlah nilai aset RM845.2 juta.

 

Kumpulan menjangkakan perjanjian itu akan diselesaikan pada suku kedua 2023.

 

Susulan pengambilalihan itu, TA Research setakat ini mengekalkan unjuran hasil KIP REIT sementara menanti cadangan itu diselesaikan dan memuktamadkan campuran hutang/ekuiti untuk membiayai langkah berkenaan.

 

Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran pada RM1 terhadap KIP REIT. - DagangNews.com