Pembelian kapal MRSS TLDM ditangguh pada RMK12, khidmat kapal lama diguna sehingga ada pengganti | DagangNews Skip to main content

Pembelian kapal MRSS TLDM ditangguh pada RMK12, khidmat kapal lama diguna sehingga ada pengganti

Kapal kelas Makassar (tengah) antara rekabentuk kapal MRSS yang ditawarkan Indonesia kepada TLDM.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 25 Okt - Hasrat untuk melihat keupayaan maritim negara dipertingkatkan dengan kapal sokongan pelbagai fungsi (MRSS) terpaksa menunggu lebih lama apabila kerajaan menangguhkan perkara tersebut.

 

Kementerian Pertahanan (MINDEF) memutuskan perolehan aset ini akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) yang bermula pada tahun 2026.

 

Perkara tersebut dimaklumkan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari di Dewan Rakyat.

 

Kata beliau, fokus Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) ketika kini ialah bagi program kapal tempur pesisir (LCS) dan perolehan kapal misi pesisir (LMS) Batch 2.

 

Kapal

 

Walaupun mengakui bahawa keperluan pemilikan MRSS itu adalah amat penting, tetapi beliau berkata pihaknya terpaksa menangguhkan perolehannya untuk memberikan laluan kepada perolehan aset lain.

 

Dokumen strategi Program Transformasi Armada TLDM 15 to 5 telah memperincikan rancangan perolehan 3 buah kapal MRSS ini dalam Rancangan Malaysia Ke-12 dan Ke-13.

 

Dengan keputusan itu bermakna khidmat dua buah kapal sokongan pelbagai peranan sedia ada iaitu KD Mahawangsa dan KD Inderasakti terpaksa ditagih sehinggalah kapal baharu dibeli.

 

KD Mahawangsa dibina di Korea Selatan pada tahun 1983 manakala KD Inderasakti di Jerman.

 

Kapal

 

Kapal

 

Semasa diterima pada dekad itu, dua kapal ini merupakan aset canggih untuk TLDM yang tidak pernah mengoperasikan kapal sokongan logistik moden.

 

Ia menggantikan kapal sokongan logistik lama yang sebenarnya kapal pendarat kereta kebal milik Amerika Syarikat (AS) era Perang Dunia Kedua iaitu KD Raja Jarom, KD Sri Langkawi dan KD Sri Banggi.

 

Sehinggalah ada pengganti kapal baharu, keringat dua kapal berusia 40 tahun ini akan dikerah sehabis baik bagi memikul sebarang tugasan berkaitan logistik termasuk penghantaran jarak jauh.

 

Dengan berat sekitar 4,300 tan, kapal ini boleh membawa sama ada 500 tentera atau kenderaan dengan ruang kargo seluas 1,000 meter padu dan 680 meter persegi ruang kenderaan. 

 

Kapal

 

Kapal

 

Ia juga mempunyai platform untuk helikopter sederhana.

 

Tidak mustahil juga kapal-kapal ini masih diperanankan sebagai kapal induk dalam operasi atau eksesais kerana fizikalnya yang bersaiz besar berbanding aset lain dalam armada TLDM.

 

Mengambil kira tempoh RMK13 berlangsung antara tahun 2026 hingga 2031, maka kebarangkalian untuk KD Mahawangsa dan KD Inderasakti berbakti sehingga usianya 50 tahun tidak mustahil.

 

Ini jika mengandaikan kerajaan memuktamadkan untuk membeli kapal MRSS pada tahun 2029 dengan kapal disiapkan dalam tempoh tiga hingga empat tahun.

 

Kapal

 

Jika mengikut rancangan Program Transformasi Armada TLDM 15 kepada 5, perolehan tiga MRSS akan dibuat secara berperingkat-peringkat iaitu dua yang pertama dihantar antara 2021-2025 manakala kapal ketiga menjelang 2035.

 

Program tersebut telah pun menggariskan supaya perolehanan MRSS ini dilaksanakan pada RMK12 dan RMK13.

 

Kapal MRSS atau sebelumnya diistilahkan sebagai kapal sokongan pelbagai peranan dan pemerintahan (MPCSS) sepatutnya dimasukkan dalam RMK9 tetapi ditangguhkan berikutan krisis kewangan 2008. 

 

Bagaimana pun, dengan insiden kebakaran dan kerosakan pada kapal KD Sri Inderapura pada Oktober 2009, program penggantian itu dijangka dimulakan semula.

 

Kapal

 

 

KD Sri Inderapura sebelumnya milik tentera laut AS yang berusia 24 tahun dibeli kerajaan Malaysia dan menjadi kapal terbesar dalam armada TLDM.

 

Pada awal tahun 2011, perolehan MPCSS dirancang pula pada RMK10 termasuk mendapatkan enam helikopter antikapal selam.

 

Sebagai sebuah negara maritim yang mempunyai wilayah dipisahkan oleh Laut China Selatan, maka MRSS adalah aset strategik kepada negara memandangkan keperluannya yang pelbagai.

 

Sebab itu, jumlah ideal untuk TLDM sekurang-kurangnya 4 MRSS dengan 2 buah daripada kapal itu beroperasi di Armada Barat (Lumut) manakala 2 buah kapal selebihnya beroperasi di Armada Timur (Sabah).

 

Bukan sahaja untuk misi ketenteraan, malah kapal-kapal MRSS boleh digunakan dalam operasi ketenteraan selain peperangan termasuklah misi bantuan kemanusiaan antarabangsa.

 

Dengan penangguhan untuk mendapatkan kapal MRSS sehingga RMK12, nampaknya tawaran untuk firma-firma luar menawarkan kapal binaan masing-masing kepada TLDM masih terbuka.- DagangNews.com